Duta Perpaduan Johor diseru bantu majukan agenda pembangunan

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad menyeru golongan belia terutama mereka yang dilantik sebagai Duta Perpaduan Johor 2022 agar turut serta dalam memajukan agenda pembangunan di negeri itu.

Beliau berkata, jatuh bangun Johor terletak di bahu anak muda kerana mereka merupakan pewaris kepada kepimpinan negeri itu yang akan tidak mampu berdepan situasi jika barisan pemimpin pelapisnya tidak sehaluan.

"Saya menyeru kepada semua anak muda dan Duta Perpaduan khasnya untuk turun ke akar umbi serta pastikan rakan-rakan anda turut terlibat dalam memajukan agenda pembangunan negeri Johor.

"Bekerjasamalah dengan kerajaan negeri untuk memberi cadangan yang konstruktif demi masa depan belia. Saya akan sentiasa bersama anda semua dalam setiap langkah yang diambil," katanya dalam hantaran di laman Facebook, pada Ahad.

Sebelum itu, Onn Hafiz meluangkan masa bertemu dengan 200 anak muda yang telah diangkat menjadi Duta Perpaduan Johor 2022.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan. Melalui program ini, saya yakin mereka akan lebih mendukung semangat perpaduan dan nilai kebersamaan antara kaum demi masa depan yang lebih cerah untuk negeri ini, " katanya. - Bernama