Tarik sokongan, kerajaan sedia hadapi sebarang kemungkinan

Ismail Sabri (tengah) pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersedia dengan apa sahaja kemungkinan termasuk membubarkan Parlimen sekiranya ada parti yang menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, mana-mana parti berhak menentukan keputusan sendiri.

“Terserah kepada siapa-siapa untuk membuat sebarang keputusan kerana mana-mana parti pun boleh buat keputusan sendiri tapi yang pentingnya, kesan daripada itu kita terpaksa hadapi kalau tarik sokongan dan kalau kerajaan itu tumbang, maka pilihan raya perlu dilaksanakan selepas itu.

“Jadi kalau semua bersedia ke arah pilihan raya, maka tiada pilihan untuk kita adakan pilihan raya. Jadi kerajaan sentiasa bersedia dalam apa sahaja keadaan. Kalau bersedia hadapi pilihan raya, maka kita akan adakan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, pilihan raya akan tetap akan diadakan apabila tiba masanya apabila dirasakan telah tiba masanya yang sesuai.

"Pilihan raya akan tetap diadakan, cuma tarikh itu sahaja akan ditentukan tapi kalau ada tindakan tarik sokongan sebelum tarikh ditentukan, jadi kita akan ambil tindakan sama ada adakan pilihan raya atau tidak, maka kita akan tentukan selepas ini.

“Tetapi perkara ini masih tidak ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh parti (yang didakwa akan tarik sokongan),” katanya.

Justeru Ismail Sabri menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan itu kemungkinan bersifat peribadi, bukannya pendirian parti.

“Itu mungkin pandangan peribadi. Jadi saya tak boleh ambil tindakan, mesti berdasarkan kenyataan rasmi parti,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Laporan itu mendakwa ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik ahli Parlimen Bersatu sebagai timbalan perdana menteri.