Lelaki mengaku salah tetak pengawal keselamatan

Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Ahad.
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki mengaku salah atas pertuduhan menyebabkan cedera parah ke atas pengawal keselamatan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Ahad.

Tertuduh, R Subramaniam, 41, daripada Kampung Sungai Puntar, Bedong, Kedah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam didapati dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail Ahmad, 58, dengan menggunakan sebilah pedang.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan pos pengawal tapak projek perumahan Sierra 4, Bukit Banyan pada jam 4.40 petang 4 Ogos lalu.

Akibat tindakan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah didenda dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukuman kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Hakim Roslan menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kes selesai.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan cedera akibat dipukul dan ditetak dengan parang kerana menegur kelakuan seorang penunggang motosikal yang menunggang cara keterlaluan.