Kontinjen Malaysia cemerlang di AUG 2022

Kontinjen Malaysia ketika majlis penutupan temasya AUG 2022 yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat pada Ahad.
Kontinjen Malaysia ketika majlis penutupan temasya AUG 2022 yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat pada Ahad.
A
A
A

8.5/10. Itu markah yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen IPT Malaysia, Datuk Dr Pekan Ramli kepada kontinjen Malaysia yang menggalas cabaran negara di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 susulan kejayaan membawa pulang 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Bagi Pekan, kejayaan kontinjen negara di AUG 2022 merupakan satu kejutan dan di luar jangkaan memandangkan hampir kesemua sukan yang disertai atlet negara di temasya dwi tahunan itu berjaya membutirkan kilauan pingat.

“Untuk kontinjen Malaysia kali ini saya bagi rating 8.5/10. Ini adalah kejayaan cemerlang buat kali pertama kontinjen negara selepas muncul juara di Laos pada 2012.

“Pada edisi kali ini, kita berjaya capai sasaran 35 emas lebih awal dan kita cabar pihak pengurusan dan atlet untuk capai 45 emas pula.

“Akhirnya 45 emas juga berjaya dicapai dan kita cuba kejar untuk sampai ke angka 50, namun tidak berhasil melalui dua acara akhir bola keranjang wanita dan lelaki yang berpuas hati dengan pingat perak apabila kedua-duanya tewas kepada Thailand.

“Antara sukan yang sangat cemerlang pada edisi ini adalah olahraga (11 emas), catur (4 emas) dan badminton (4 emas). Dalam sukan tempur pula, kita juga berjaya membuktikan penguasaan dengan masing-masing melepasi sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup temasya AUG 2022 pada Ahad.

Pekan mengakui kejayaan kontinjen negara pada edisi kali ini dipacu oleh program-program latihan yang berterusan di bawah kendalian pengurusan sukan masing-masing walaupun AUG ditangguh sebanyak tiga kali akibat pandemik Covid-19

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan sukan yang kurang menyerlah di AUG 2022, Pekan berkata, terdapat beberapa sukan yang tidak mencapai sasaran seperti memanah dan juga renang.

Bagaimanapun beliau tidak melihat ia sebagai satu kegagalan memandangkan kesemua atlet yang terlibat sudah memberikan aksi yang terbaik.

“Bagi memanah mereka bawa pulang empat pingat emas berbanding enam emas yang disasarkan, renang pula raih enam emas walaupun sasaran lapan emas. Pencapaian ini tidak mengecewakan dan kita masih kuat di pentas AUG untuk sukan ini.

“Ada juga dua acara sukan yang tidak berjaya bawa pulang pingat kali ini iaitu futsal dan juga wall climbing. Untuk futsal kita kena tengok program pembangunan secara menyeluruh, di peringkat senior sukan ini juga gagal menyerlah,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Pekan turut mengumumkan imbuhan yang akan diberikan kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya kali ini.

Menurut Pekan, atlet yang berjaya meraih emas pada AUG 2022 akan menerima RM3,000 seorang, pingat perak RM1,500 dan gangsa sebanyak RM750.

"Untuk acara berkumpulan akan ada imbuhan yang berbeza mengikut perkiraan jumlah atlet. Untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kejohanan juga akan ada imbuhan buat mereka nanti," katanya.