Transformasi bandar raya Kuching membanggakan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A
KUCHING - Selama 34 tahun, bandar raya Kuching menyaksikan transformasi yang sangat membanggakan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, daripada sebuah pekan, Kuching kini telah menjadi sebuah bandar raya yang bersih dan pintar selain membangun dengan jayanya.

"Saya ucap syabas dan tahniah kepada kedua-dua Datuk Bandar (Kuching Utara dan Kuching Selatan) serta semua kakitangan yang bekerja keras untuk menjayakan apa yang telah kita saksikan pada hari ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-34 Bandar Raya Kuching di sini pada Sabtu.

Abang Johari berkata, transformasi bandar raya Kuching itu turut mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Raya Kreativiti Gastronomi pada November tahun lepas.

"Bandar raya Kuching juga diiktiraf dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) yang menyokong kreativiti menjadi pendorong pembangunan bandar yang mampan merentas tujuh bidang kreatif iaitu kraf dan seni rakyat, seni media, filem, reka bentuk, sastera, muzik dan gastronomi.

"Sudah tentu ini adalah pengiktirafan berprestij untuk warisan dan kepelbagaian makanan kita dengan asal-usulnya dalam komuniti gastronomi daripada tanaman terus ke pinggan hidangan,” katanya. - Bernama