Karnival Kerjaya LZS tawar lebih 6,000 peluang pekerjaan

Lebih 2,000 orang mendaftar bagi menyertai Karnival Kerjaya Jom Kerja LZS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Sabtu. (Gambar dalam : Mohd Nurhisyam)
Lebih 2,000 orang mendaftar bagi menyertai Karnival Kerjaya Jom Kerja LZS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Sabtu. (Gambar dalam : Mohd Nurhisyam)
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Kerjaya Jom Kerja Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Sabtu menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan bagi membantu golongan asnaf dan mualaf meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir berkata, sebanyak 31 syarikat daripada pelbagai sektor mengambil bahagian dalam karnival terbabit dengan menawarkan pelbagai jawatan kosong.

Menurutnya, karnival tersebut diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berperanan memadankan pekerjaan sesuai untuk asnaf berkenaan dengan majikan yang mencari pekerja.

"Ini merupakan usahasama yang kita jalankan dengan Perkeso dan beberapa agensi serta majikan untuk menggembleng tenaga bagi membantu asnaf-asnaf yang sedang mencari pekerjaan dan pada masa sama, memberi peluang kepada mereka yang hilang pekerjaan.

"Ia merupakan salah satu usaha LZS bagi membantu asnaf dalam meningkatkan tahap pendapatan dan sosioekonomi mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Karnival Kerjaya Jom LZS merupakan salah satu inisiatif membantu meningkatkan tahap pendapatan dan sosioekonomi asnaf.
Karnival Kerjaya Jom LZS merupakan salah satu inisiatif membantu meningkatkan tahap pendapatan dan sosioekonomi asnaf.

Selain itu, Mohd Nurhisyam berkata, seramai 2,000 orang mendaftar untuk mendapatkan pekerjaan di karnival tersebut setakat Jumaat manakala 300 hingga 500 orang dijangka menerima manfaat dan pekerjaan daripada majikan yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Beliau berkata, sambutan yang diterima sangat positif dan pihaknya berhasrat untuk mengadakan pelbagai program lain dengan pelbagai tawaran lain bagi membantu asnaf yang sedang mencari pekerjaan.

"Kita di LZS bukan sahaja menyantuni asnaf dari segi kebajikan, malah kita juga berusaha untuk membantu mereka meningkatkan taraf sosioekonomi.

"Selain memberikan bantuan pembangunan dari segi kerjaya, kita juga salurkan bantuan dari segi pendidikan dan keusahawanan berdasarkan latar belakang mereka," katanya.

Dalam program sama, turut diadakan sesi perkongsian ‘Career Talk: Bangkit Asnaf’ bagi memberi pemahaman dan meningkatkan pengetahuan pencari kerja asnaf mengenai kebolehpasaran mereka di dalam dunia pekerjaan, seterusnya mengubah diri serta keluar dari kategori asnaf.

Turut hadir ke program tersebut ialah Pengarah Perkeso Selangor, Mustafa Draman.