Projek pembesaran Hospital Pantai Pulau Pinang dijangka siap 2024

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Pantai Pulau Pinang, pada Sabtu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Pantai Pulau Pinang, pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Hospital Pantai Pulau Pinang menambah blok perubatan baharu yang menelan belanja sebanyak RM200 juta bagi meningkatkan rangkaian perkhidmatan kualiti kesihatan kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Pan Wen Lek berkata, mengikut jadual, fasa pertama projek pembesaran tersebut dijangka siap pada suku keempat 2024 manakala kerja pengubahsuaian bangunan sedia ada dijadualkan siap pada suku kedua 2026.

Menurutnya, projek pembesaran itu dilaksanakan di kawasan parkir kenderaan yang terletak di belakang blok perubatan sedia ada.

"Projek ini merupakan pembesaran fasiliti perubatan sedia ada yang mana, ia menempatkan 307 katil dan 440 kotak parkir untuk kedua-dua projek. Projek fasa pertama, ia melibatkan bangunan tujuh tingkat perubatan dengan keluasan 176,140 kaki persegi.

"Ia akan dilengkapi dengan 117 buah katil, 14 unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan kritikal (CCU), unit dependensi tinggi (HDU), 36 bilik perundingan, lima dewan bedah, makmal jantung dan empat bilik endoskopi," katanya selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Hospital Pantai Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-Francois Naa.

Tambah Wen Lek, blok perubatan baharu itu akan meningkatkan rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada pesakit di seluruh Pulau Pinang dan di luar negeri tersebut.

"Bagi fasa kedua iaitu pengubahsuaian bangunan sedia ada pula, ia melibatkan kemudahan perubatan semasa yang merangkumi 10 dewan bedah, dua makmal dan 30 buah katil ICU dan CCU," katanya.

Beliau berkata lagi, dengan projek pembesaran bangunan perubatan baharu itu, dilihat dapat menarik lebih ramai dari luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital tersebut.

"Ia selaras dengan matlamat Pulau Pinang untuk menjadi hub pelancongan perubatan. Kami berhasrat menjadikan Hospital Pantai Pulau Pinang sebagai hub perubatan dan pusat penjagaan kesihatan yang paling diutamakan sama ada oleh penduduk tempatan atau pesakit dari luar negara antaranya Indonesia.

"Bangunan baharu itu direka bentuk untuk menyediakan kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakit dan keluarga mereka melalui reka bentuk bangunan hijau dan mampan dengan menumpukan kepada enam kriteria utama Indeks Bangunan Hijau yang menekankan kepada peningkatan kecekapan penggunaan sumber antaranya tenaga, air dan bahan," katanya.

Wen Lek berkata, dengan projek pembesaran tersebut, ia akan mewujudkan hampir 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Jean-Francois Naa berkata, pihaknya bersedia meluaskan akses kepada penjagaan dan perkhidmatan tahap tinggi yang disediakan oleh Hospital Pantai Pulau Pinang.

"Dengan peningkatan permintaan untuk penjagaan kesihatan berkualiti di sini dan usaha kerajaan negeri untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi utama dalam pelancongan perubatan, kami akan berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memenuhi keperluan pesakit tempatan dan antarabangsa," katanya.