Tiga premis diserbu curi air

Sains dan SPAN menyerbu tiga premis selepas disyaki membuat penyambungan haram. - Foto Sains
Sains dan SPAN menyerbu tiga premis selepas disyaki membuat penyambungan haram. - Foto Sains
A
A
A

SEREMBAN - Tiga premis masing-masing di daerah ini dan Port Dickson diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas disyaki membuat penyambungan haram pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, operasi bermula kira-kira jam 10 pagi itu diketuai oleh pegawai SPAN daripada Bahagian Penguatkuasaan SPAN Ibu Pejabat, Shariff Abd Rahman dan Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis yang merupakan stor simpanan lori. Siasatan tapak mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 32 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan harian pekerja premis.

"Serbuan kedua dijalankan ke atas sebuah banglo yang sedang dalam proses ubahsuai. Penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 19mm tanpa melalui sebarang meter," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bekalan air dipercayai digunakan untuk proses ubahsuai premis tersebut.

Katanya, premis ketiga yang diserbu pada hari sama merupakan sebuah bengkel membaiki kenderaan di mana penghuni premis didapati membuat sambungan menggunakan paip mudah lentur bersaiz 15mm tanpa melalui sebarang meter.

"Bekalan air yang digunakan melalui penyambungan tersebut dipercayai digunakan untuk kegunaan harian penghuni premis berkenaan," katanya.

Norzita berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, manakala kes kedua dan ketiga disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di ketiga-tiga lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak SPAN telah menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

"Terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat bersama-sama membantu Sains dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini.

"Pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800- 88-6982. Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains," katanya.