Di mana hak ibu Malaysia?

Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memutuskan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak mendapat kerakyatan Malaysia.
Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur memutuskan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak mendapat kerakyatan Malaysia.
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur yang memutuskan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak mendapat kerakyatan Malaysia mendapat reaksi pelbagai pihak.

Ada yang membantah keputusan majoriti 2-1 itu dengan menyatakan kerajaan mendiskriminasikan kaum wanita di negara ini dan hak kerakyatan kanak-kanak berkenaan dirampas sewenang-wenangnya.

Tidak kurang juga ada pihak yang menggesa kerajaan untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan berkenaan pentafsiran 'bapa' yang disifatkan sebagai diskriminasi gender dalam Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(b) dan 1(c).

Keputusan mahkamah tersebut pada Jumaat juga menyebabkan ramai yang kecewa dan menganggap kerajaan tidak memberikan hak sama rata kepada golongan ibu Malaysia.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan antara individu yang lantang bersuara dengan menggesa kerajaan mempercepatkan proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja bagi membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak terlibat.

Sebelum ini katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah memberi maklum balas di Parlimen pada tahun lalu, namun tiada perkembangan selanjutnya.

Justeru Ahli Parlimen Muar itu menggesa semua ahli Parlimen mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempercepatkan proses mendapatkan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja berikutan ia merupakan soal hidup dan mati serta melibatkan masa depan mereka.

Dalam pada itu, Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut senada mempertahankan hak ibu-ibu warganegara Malaysia dan menganggap undang-undang berkenaan tidak adil dan dianggap serangan terhadap hak wanita.

Oleh yang demikian banyak pihak mengharapkan kerajaan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan agar anak-anak terlibat mendapat hak sama rata kerana mereka juga rakyat Malaysia.