Wanita PKR gesa kerajaan tidak diskriminasi gender

Sangetha (dua dari kanan) bersama beberapa kepimpinan wanita PKR menggesa kerajaan pinda perlembagaan.
Sangetha (dua dari kanan) bersama beberapa kepimpinan wanita PKR menggesa kerajaan pinda perlembagaan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan pentafsiran 'bapa' yang disifatkan sebagai diskriminasi gender.

Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar menegaskan, Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(b) dan 1(c) dalam perlembagaan perlu dipinda bagi memberikan hak sama rata kepada golongan ibu Malaysia.

"Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini jelas bahawa pentafsiran 'bapa' dalam jadual berkenaan harus dipinda dengan segera untuk mencerminkan iltizam politik dalam memastikan agenda kesaksamaan gender dicapai di Malaysia.

"Perkara yang merisaukan dan membimbangkan adalah keinginan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 9 September 2021 memandangkan Malaysia telah mengesahkan Committee on the Elimination of Discrimination against Women (CEDAW) pada 1995.

"Wanita PKR ingin menyatakan bahawa kami menyokong sepenuhnya hak ibu-ibu warganegara Malaysia untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak-anak mereka. Tidak ada asas pada abad ke-21 dimana hak kewarganegaraan kanak-kanak dinafikan diatas sebab undang-undang yang tidak adil dan berasaskan diskriminasi gender," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel tiga orang yang dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Md Said membenarkan rayuan oleh tiga perayu iaitu kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran.

Dalam pada itu Sangetha menggesa kerajaan untuk menghentikan diskriminasi terhadap wanita Malaysia dan mengambil tindakan pantas meminda Perlembagaan Persekutuan dalam perkara tersebut yang disifatkan sebagai serangan terhadap hak wanita.

"Kepada semua ibu-ibu Malaysia yang berada di barisan hadapan, kami tetap teguh dan akan terus bersolidariti bersama anda dalam perjuangan ini," katanya.