Percepat PRU15 jika terus berebut jawatan

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu segera diadakan sekiranya isu tuntutan jawatan terus dimainkan oleh pemimpin dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, isu perebutan jawatan itu sekiranya dibiarkan berlarutan bakal memberi kesan buruk terhadap pentadbiran negara.

“Jika signal (isyarat) perebutan jawatan terus di pertontonkan, sebaiknya PRU disegerakan kerana lagi lama berkerajaan nanti makin membengkak pula nanah yang boleh menjadi barah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Jumaat.

Meskipun bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu tidak menamakan mana-mana pihak dalam hantaran tersebut, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tuntutan dibuat oleh Perikatan Nasional (PN).

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN baru-baru ini melahirkan kekecewaan mereka terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat bersungguh memenuhi terma penting terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

Media sebelum ini mendedahkan bahawa perjanjian tersebut antara lain mengandungi janji pelantikan jawatan timbalan perdana menteri kepada tonggak PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, pemimpin kerajaan sepatutnya memberi fokus bagi menangan isu ekonomi dihadapi rakyat berbanding hal berkaitan tuntutan jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

“Fokus rakyat sekarang adalah kestabilan ekonomi pasca Covid-19 bukannya tuntutan jawatan dalam kerajaan. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan isyarat tersebut kepada rakyat.

“Fokus pada penyelesaian inflasi sepertimana pasukan jihad inflasi yang diamanahkan kepada Tan Sri Annuar Musa bagus untuk kerajaan di mata rakyat,” katanya.