PH Kedah buat laporan polis terhadap Abdul Hadi

Dr Ismail (tiga, kiri) bersama Zamri (dua, kanan) membuat laporan polis bersama berhubung kenyataan Abdul Hadi yang disifatkan berunsur fitnah di IPD Kota Setar.
Dr Ismail (tiga, kiri) bersama Zamri (dua, kanan) membuat laporan polis bersama berhubung kenyataan Abdul Hadi yang disifatkan berunsur fitnah di IPD Kota Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan agar tidak lagi menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk memberi imej buruk terhadap Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Ismail berkata, sebagai seorang pemimpin bertaraf ulama dalam parti, beliau tidak seharusnya melemparkan kenyataan yang berunsurkan fitnah semata-mata mahu memancing undi.

Menurutnya, tindakan Abdul Hadi itu didakwa dilakukan dalam dua ceramah di Kedah pada 23 Julai dan di Terengganu pada 30 Julai lalu.

“Ini merupakan fitnah yang dilemparkan oleh seorang ulama dalam Pas, mudahnya beliau lontar kata-kata menyerang PH dengan fakta tidak sahih.

“Abdul Hadi tidak seharusnya bermain dengan sentimen yang sensitif seperti itu, ia hanya merugikan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian di sini selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Khamis.

Hadir sama, wakil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu Ketua Cabang Alor Setar, Datuk Zamri Yusuf.

Ismail berkata, laporan polis dibuat agar siasatan dilakukan terhadap kenyataan Abdul Hadi kerana ia mengundang fitnah dan mengaibkan pihak lain.

“Saya kesal apabila Presiden Pas dalam ucapannya sempena pelancaran Perikatan Nasional (PN) peringkat Terengganu di pekarangan Masjid Rusila, antaranya menyebut kerajaan PH semasa memerintah mahu merungkai Perlembagaan Malaysia, mencabar Islam dan keistimewaan orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya beliau mahu menutup kelemahan Pas sendiri yang bersekongkol dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merampas kuasa menerusi Langkah Sheraton. Apakah Abdul Hadi sudah lupa percaturan politik yang mereka lakukan sehingga kerajaan PH tersungkur?” soalnya.

Menurutnya lagi, seeloknya semua parti politik ‘berlawan atas padang’ yang sama, iaitu pilihan raya berbanding dengan memainkan sentimen fitnah.

“Ia hanyalah suatu pemikiran tidak sihat, mana mungkin hanya beliau sahaja yang betul dan layak melabel pihak lain hanya untuk raih undi politik. Cukup-cukuplah, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dekat, gunakan pendekatan berhemah untuk berkempen,” katanya.

Ismail berkata, rakyat lebih bijak membuat penilaian sama ada pemerintahan PH atau PN lebih baik tanpa perlu mengaburi pandangan mereka dengan fitnah.

“Ini antara fakta yang ingin saya bangkitkan semula, ia bukan fitnah. Pada tahun 80-an, fatwa Abdul Hadi melabel orang UMNO kafir, sebaliknya sekarang mereka ‘berpeluk’ mesra.

“Pada tahun 2008, Pas sertai Pakatan Rakyat (PR) bersama dengan DAP. Selepas itu, pada 2015, Pas kata DAP jahat pula. Anda nilai sendiri kedudukan Pas dan agendanya,” katanya lagi.