Seimbangkan kesihatan mental, fizikal menerusi sukan

Muhammad Sanusi (tiga, kanan) menyampaikan hadiah kemenangan kepada johan acara sukan batu seremban pada kejohanan sukan PBT Kedah malam Rabu.
Muhammad Sanusi (tiga, kanan) menyampaikan hadiah kemenangan kepada johan acara sukan batu seremban pada kejohanan sukan PBT Kedah malam Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kesihatan mental dan fizikal harus seimbang dalam mendepani cabaran masa kini agar individu dapat melaksanakan tugas seharian dengan cemerlang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keseimbangan itu boleh dicapai menerusi penglibatan secara aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.

Menurutnya, ia juga membolehkan individu khususnya penjawat awam kekal cergas dan aktif ketika melaksanakan urusan pentadbiran.

“Aktiviti sukan ini perlu dilakukan bagi mengimbangi kesihatan mental dan fizikal, aktiviti sukan bukan sahaja menyihatkan badan bahkan wujudkan kecerdasan minda dan fizikal.

“Akal yang sihat adalah daripada badan yang cergas. Ia membuktikan betapa pentingnya aturan hidup kita disulami dengan aktiviti sukan, yang akhirnya mengharmonikan setiap perjalanan hidup seseorang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis makan malam sempena Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah 2022 di Dewan Seri Mentaloon, malam Rabu.

Muhammad Sanusi berharap kejohanan sukan PBT Kedah akan dijadikan sebagai wadah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan penjawat awam.

“Pendedahan seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan supaya impaknya dapat dikecapi, seterusnya meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan selain antara usaha kita untuk melahirkan atlet yang berpotensi dan hebat,” katanya lagi.

Menurutnya, sukan PBT Kedah akan diadakan setiap dua tahun sekali yang mana Majlis Perbandaran Kubang Pasu menjadi tuan rumah terakhir pada tahun 2019.

“Sepatutnya pada 2021 giliran Majlis Daerah Baling sebagai tuan rumah tetapi disebabkan penularan wabak Covid-19, penganjuran sukan pada tahun lepas ditangguhkan,” katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, format penganjuran pada tahun ini diubah kepada 10 sukan dipertandingkan dan setiap sukan dianjurkan di PBT terpilih.

“Tempoh kejohanan tahun ini selama dua bulan, bermula pada awal Jun dan berakhir hujung Julai lepas,” katanya lagi.