Kerajaan gagal nilai masalah kewangan syarikat bina kapal LCS

Kah Woh - Foto Bernama
Kah Woh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaam Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Kah Woh berkata, perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

“Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Tambah Kah Woh, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan BNS turut tidak mengendahkan pandangan TLDM selaku pengguna akhir projek LCS.

“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima TLDM pada ketika itu, keputusan tersebut adalah ‘something is gravely wrong’,” katanya.

Menurutnya, kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan.

“Setakat tahun 2018, hutang syarikat BNS kepada pengeluaran produk tulen (OEM) bernilai RM801 juta manakala pinjaman dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, BNS melantik Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk membeli peralatan daripada OEM menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda manakala kedua-dua syarikat itu adalah syarikat usahasama antara BNS dan Rheinmetall Air Defense AG (RAD).

RAD mempunyai kawalan penuh ke atas CAD dan CED selain Laporan Pengauditan Forensik mendapati peranan kedua-dua syarikat berkenaan dalam projek LCS amat meragukan.

Tambahnya, sehingga kini ‘detailed design’ masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS menyebabkan Arahan Perubahan Kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku.

"Pembayaran diterima daripada kerajaan oleh syarikat BNS tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya.

“Ini menyebabkan syarikat BNS menghadapi suatu 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion. Daripada amaun tersebut, sejumlah RM400 juta telah digunakan bagi menyelesaikan hutang lapuk projek lama NGPV.

"Dan peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15 peratus telah pun usang,” katanya.

Mengenai langkah penambahbaikan, PAC mengesyorkan tujuh perkara kepada kerajaan untuk dilaksanakan, antaranya Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) TLDM, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dinyahklasifikasikan sepenuhnya.

Selain itu katanya, insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran dengan perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan keperluan pengguna akhir serta secara amnya bagi segala projek dan perolehan di masa hadapan perlu selari Kertas Putih Pertahanan 2020-2030.

"Kementerian perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi kesiapsiagaan pertahanan negara.

"Pentadbiran kontrak kerajaan haruslah diperkemas untuk meminimumkan VO bagi mengelak peningkatan kos projek,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan ke atas segala penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK dan Laporan Pengauditan Forensik serta pendakwaan harus disegerakan.

"MINDEF perlu melihat semula semua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.

“MINDEF juga perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga ia disempurnakan," katanya.