X

Kindly register in order to view this article
!

Boustead Naval Shipyard serahkan kapal LMS3 kepada TLDM

A
A

KUALA LUMPUR - Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), syarikat sekutu Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) menyerahkan Kapal Misi Litoral (LMS3) ketiga kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

BHIC berkata, LMS adalah kelas kapal perang TLDM baharu yang akan meningkatkan pertahanan maritim Malaysia sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi 15 hingga 5 Tentera Laut untuk menaik taraf armada kapalnya dan menyediakan armada yang cekap dan sesuai bagi semua tujuan.

Majlis penyerahan fizikal LMS3, yang ketiga daripada empat unit LMS kelas Keris itu yang dibina bersama di China oleh BNS dan China Shipbuilding and Offshore Corp (CSOC), diadakan di Wuchang Shipyard di Qidong, Nantong di Wilayah Jiangsu, China pada Selasa.

"Penyerahan itu adalah susulan penerimaan semua sijil akhir oleh TLDM dan penyiapan struktur badan kapal, ruang dalam kapal dan peralatan serta ujian dan percubaan sistem tempur, sebagai mematuhi spesifikasi kontrak,” kata BHIC dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kontrak pemerolehan untuk membina bersama LMS itu dimeterai pada 23 Mac, 2017 antara BNM dan kerajaan Malaysia dengan CSOC bertindak sebagai rakan limbungan BNS.

Program LMS dilaksanakan menerusi kerjasama tiga pihak antara TLDM, BNS dan tiga pihak China iaitu CSOC, Wuchang Shipbuilding Industry Group dan China Classification Society (CSC).

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf berkata, syarikat itu berbangga dengan sumbangannya kepada pertahanan maritim negara dan berharap memperoleh kontrak kumpulan LMS yang seterusnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, kejayaan penyerahan fizikal LMS3 itu memberi prospek baik kepada usaha BHIC untuk menjadi organisasi mencatatkan prestasi tinggi sejajar dengan strategi Reinventing Boustead untuk mencatatkan pertumbuhan mampan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!