KDN rujuk KPN isu pindah anggota polis bermasalah

Hamzah berucap pada Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, Damansara pada Khamis. - Foto Bernama
Hamzah berucap pada Majlis Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Tahun 2022 di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah, Damansara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan isu menempatkan sembilan anggota polis bermasalah ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN sedang merujuk perkara berkenaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk maklumat lanjut.

“Ia sudah diumumkan tetapi belum buat kepastian. Saya sudah bertanyakan dengan Ketua Polis Negara untuk melihat semuanya,” katanya ringkas ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Pada Rabu, Kerajaan Sabah memandang serius berhubung isu pemindahan anggota polis bermasalah ke negeri itu tanpa mendapat pandangan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan itu dilaksanakan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, seramai sembilan anggota polis yang terbabit dalam peras ugut seorang ahli perniagaan di Selangor baru-baru ini ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.

Dalam kes berlainan, mengenai penafian dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu, Hamzah berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung perkara itu.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk melakukan siasatan lanjut, mendalam dan terperinci agar tiada mana-mana orang akan merosakkan imej sesiapa," ujarnya.

Dalam kejadian sekitar jam 8.40 hingga 9.40 pagi, Rabu, seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi oleh pegawai tinggi kerajaan di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaannya di bilik berkenaan.