Pengguna data dicadang wajib lantik pegawai perlindungan

Annuar ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

- Foto Bernama
Annuar ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.

- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pengguna data akan diwajibkan melantik pegawai perlindungan data menerusi cadangan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan pindaan turut meliputi pengenalan kepada notifikasi ketirisan data yang mewajibkan semua pengguna data untuk melaporkan kebocoran data kepada Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam tempoh 72 jam.

‘Pengguna data’ bermaksud seseorang yang sama ada berseorangan atau bersesama atau bersama dengan orang lain memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadap atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi, tetapi tidak termasuk seorang pemproses data.

Selain itu, pindaan itu akan turut mewajibkan pemproses data untuk patuh kepada prinsip keselamatan dan membenarkan pemindahan data peribadi antara pengguna data atas permintaan subjek data sekiranya sistem teknikal membenarkannya.

"Cadangan-cadangan pindaan ini mewujudkan polisi perlindungan data yang lebih kukuh dan dinamik melalui penggunaan instrumen baharu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) mengenai perancangan kementerian untuk meminda beberapa fasal dalam akta berkenaan bagi menangani jenayah pencerobohan hampir 100 juta data peribadi.

Annuar berkata, cadangan pindaan akta itu telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 28 Jun lepas untuk tindakan lanjut.

"Sebaik sahaja kita menerima maklum balas atau draf akhir daripada Jabatan Peguam Negara, satu kertas atau memorandum Jemaah Menteri akan segera disediakan,” katanya.

Annuar berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited untuk membentangkan cadangan pindaan Akta 709 itu pada sesi Parlimen Oktober ini.

Selain pindaan akta berkenaan, beliau berkata, kementerian itu juga sedang mengusahakan langkah lain bagi menangani isu ketirisan dan jenayah scam termasuk advokasi dan mewujudkan satu platform bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan panggilan yang diterima mereka.

"Kita sedang merancang untuk mengadakan satu platform iaitu orang awam apabila menerima panggilan yang meragukan, mereka terus dapat merujuk untuk menyemak kesahihan nama tersebut sama ada datang daripada pemegang talian yang sah ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sedang dilihat kementerian itu khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta memerlukan kerjasama dengan semua pembekal perkhidmatan di negara ini. - Bernama