Suami, isteri hilang mata pencarian akibat penyakit kronik

Mohd Norhisham (dua dari kanan) di samping anak dan isterinya ketika ditemui oleh Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di Besut. - Foto Ihsan Fisabilillah Terengganu
Mohd Norhisham (dua dari kanan) di samping anak dan isterinya ketika ditemui oleh Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di Besut. - Foto Ihsan Fisabilillah Terengganu
A
A
A

BESUT - Sepasang suami isteri kini bergantung harap sepenuhnya kepada bantuan yang diterima setelah keduanya hilang mata pencarian akibat komplikasi penyakit kronik.

Mohd Norhisham Ahamid Anyudin, 41, berkata, tahap kesihatannya mula merudum pada 2017 akibat jangkitan kuman pada tisu (cellulitis) dan tidak mampu bekerja sejak 2019.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai mekanik motosikal di samping turut menanam dan menjual sayur-sayuran secara kecil-kecilan untuk dijual di pasar borong di Besut.

"Isteri saya turut membantu melakukan pekerjaan itu. Pendapatan yang diperoleh waktu itu masih boleh menampung keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Norhisham berkata, penyakit cellulitis yang dialami telah pulih sejak setahun lalu, malangnya, tahap kesihatannya masih tidak mengizinkan kerana mengalami serangan strok pada kaki dan tangan serta berdepan masalah obesiti.

"Doktor beritahu serangan strok yang saya alami berpunca daripada masalah saraf. Kaki dan tangan saya menjadi lemah dan saya tidak boleh aktif, tak mampu lagi bekerja.

"Doktor juga maklumkan hormon saya terganggu menyebabkan ia aktif dan badan saya semakin membesar. Kali terakhir saya timbang berat tahun lalu mencecah 152kg," katanya yang mendapatkan rawatan di Hospital Setiu.

Menurut Mohd Norhisham, isterinya, Zuriana Ramli, 39, juga tidak mampu bekerja kerana menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Ogos tahun lalu, dua jari kaki isteri saya dipotong manakala pada Julai lalu penglihatan isteri saya terganggu.

"Doktor sahkan isteri saya mengalami glaukoma akibat gangguan pada saraf mata. Dia kini sudah tidak mampu melihat," katanya.

Mohd Norhisham mempunyai dua cahaya mata, Muhammad Asri, 11 dan Nur Syahadah, 9.

Kedua-dua anaknya dihantar ke sekolah dengan dibantu oleh bapa saudara mereka.

Bapa kepada dua anak itu kini bergantung harap sepenuhnya dengan bantuan bulanan sebanyak RM200 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain ihsan keluarga dan penduduk kampung.

"Saya tinggal di rumah sendiri, cuma dari segi pengurusan anak-anak. Kami berdua tidak berupaya untuk uruskan rumah ini. Mujurlah anak-anak saya banyak membantu. Walaupun masih kecil mereka boleh berdikari.

"Basuh pinggan, basuh baju mereka buat sendiri. Makan pula kami makan sahaja apa yang ada. Wang belanja juga terpaksa didahulukan apa yang lebih penting seperti bayar bil api dan air," katanya yang tinggal di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di sini.

Kisah dialami Mohd Norhisham menjadi tular setelah dia dikongsikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu yang menyantuni keluarga itu baru-baru ini.

Mohd Norhisham (kanan) ketika ditemui Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di Besut. - Foto Ihsan Fisabilillah Terengganu
Mohd Norhisham (kanan) ketika ditemui Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di Besut. - Foto Ihsan Fisabilillah Terengganu

Mohd Norhisham berkata, dia bersyukur kerana banyak pihak yang tampil membantu setelah kisahnya dikongsikan di media sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pihaknya telah melawat keluarga itu pada Selasa.

"Berdasarkan rekod Maidam, ketua keluarga ini merupakan asnaf yang berdaftar dengan Maidam. Keluarga ini telah mendapat bantuan baiki rumah (dapur dan bina bilik) serta bantuan sara hidup tahunan.

"Berdasarkan situasi terkini pasangan suami dan isteri ini, Insya-ALLAH, Maidam akan meminda bantuan sara hidup tahunan kepada bantuan bulanan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan keluarga itu dalam perhatian pihaknya malah beberapa bantuan secara berkala telah disalurkan kepada keluarga berkenaan.

"Pelbagai bantuan telah disalurkan kepada keluarga berkenaan sebelum ini dan kami akan terus membantu," katanya.