Kaji langkah laksana penilaian pendawaian elektrik di sekolah

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji langkah proaktif dan bersesuaian bagi melaksanakan penilaian pendawaian elektrik di mana-mana sekolah yang bermasalah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia dilihat penting dalam memastikan tahap keselamatan di sekolah adalah terjamin.

"Mana-mana bangunan lama yang memerlukan perhatian maka perlulah pihak sekolah melaporkan dan pada waktu yang sama kita akan lihat mekanisme bagaimana untuk memastikan ia dapat dijalankan secara berkala.

"Walau apa pun langkah-langkah untuk memastikan keselamatan sentiasa kita titik berat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah-Sekolah Daerah Muallim di SMK Slim River di Slim River di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden sebuah asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Said di Pedas, Negeri Sembilan yang terbakar 80 peratus pada Ahad lepas dikatakan berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.

Terdahulu, sebanyak RM394,000 diperuntukkan bagi pembinaan dewan berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada November ini. - Bernama