Warga asing cedera ditikam dalam pergaduhan

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan di hadapan sebuah kilang di Senai.
Tangkap layar video memaparkan pergaduhan di hadapan sebuah kilang di Senai.
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki warga asing cedera selepas ditikam dalam pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian Senai Fasa 3 di sini pada Khamis lalu.

Klip video berdurasi 1 minit 26 saat memaparkan kejadian pergaduhan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 8.30 malam.

"Sepasukan anggota dan pegawai menjalankan serbuan bermula pada jam 12.05 pagi pada Jumaat dan menangkap 11 warga Pakistan dan Indonesia.

"Kesemua suspek berusia 22 hingga 33 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa warga Indonesia berusia 27 tahun yang cedera selepas ditikam di belakang badan berada dalam keadaan stabil selepas dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Nazirul Azri di talian 017017-7078577," katanya.