Konsep ummah menurut Piagam Madinah

A
A
A

MASYARAKAT majmuk dengan berbilang bangsa dan agama adalah merupakan keunikan negara kita Malaysia. Ia didominasi dengan bilangan kaum Melayu sebagai jumlah terbesar diikuti kaum Cina, kaum India, Baba dan Nyonya, Siam, Suku Kadazan, Bajau, Murut dan pelbagai lagi. Selama lebih enam puluh (60) tahun, kita mampu hidup secara aman dan damai serta bersatu padu.

Akhir-akhir ini terdapat beberapa percubaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengganggu-gugat kerukunan ini dengan pengwujudan satu bangsa semata-mata. Menghilangkan dominasi Melayu dan menyamaratakan Islam dengan agama-agama lain.

Kita seharusnya ingat bahawa sejarah Islam telah merekodkan bagaimana konsep Ummah berjaya diterapkan menerusi piagam Madinah. Piagam ini telah menjadikan Madinah sebagai pusat penguasaan yang adil dan kuat dengan komposisi rakyat pelbagai bangsa dan agama dengan Islam sebagai pengemudinya. Piagam ini merupakan penyebab keamanan pertama yang turut tersebar ke utara, selatan, timur dan barat.

Piagam Madinah ini diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun Pertama Hijrah dan ia merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Ia mengandungi 47 fasal, 23 fasal adalah berkaitan peranan sesama umat Islam (Muhajirin dan Ansar) dan 24 fasal lagi adalah berkenaan hubungan umat Islam dengan bukan Islam (Yahudi).

Piagam Madinah ini adalah amat sesuai untuk kita teladani di dalam mengekalkan keharmonian hidup rakyat Malaysia berbilang kaum dengan Islam sebagai Agama negara. Ayuh kita selidiki secara terperinci berkenaan fasal-fasal di dalam perlembagaan ini yang boleh memanfaatkan kita di dalam membina ummah Malaysia.

Fasal pertama piagam ini dimulai dengan kalimah ‘basmallah’ (dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani) di dalam memperakukan tentang kepentingan kesatuan dan seia sekata. Manakala Fasal kedua pula berkenaan pengiktirafan ummat yang berbeza-beza dan insan berlainan.

Manakala Fasal 3 hingga Fasal 11 adalah berkenaan peranan dan tanggungjawab di dalam membayar ganti rugi, mematuhi peraturan asal seperti terdahulu, adil dan berkebajikan. Fasal 12 berkenaan penyelesaikan masalah secara bersama-sama dan tidak bersendirian dan Fasal 12b berkenaan tiada perjanjian dengan orang lain di bawah kawalan Muslim yang lain.

Fasal 13 hingga Fasal 22 adalah berkenaan tindakan secara bersama di dalam menentang kemungkaran, mempertahankan nyawa Mukmin, jaminan daripada mengganggu dan diganggu, jaminan pendamaian seorang Mukim adalah bermakna pendamaian dengan Mukmin lain secara keseluruhannya dan sebaliknya, saling bela membela, bantu membantu dan tidak berperang sesama Muslim serta memastikan keteguhan piagam yang didokongi. Manakala Fasal 23 meletakkan syariat Islam sebagai sumber rujukan kepada setiap pertelingkahan.

Artikel Berkaitan:

Bermula daripada Fasal 24, Piagam ini menggarapkan tentang Kaum Yahudi secara jelas sebagai satu kaum bersama kaum Mukmin. Fasal 25 hingga Fasal 35, ia mengkhususkan secara terperinci tentang siapakah yang dimaksudkan dengan kumpulan-kumpulan Yahudi ini. Fasal 36 menzahirkan secara tegas tentang larangan untuk keluar daripada pakatan ini kecuali dengan persetujuan Nabi Muhammad SAW.

Bermula Fasal 37 hingga Fasal 47, ia membincangkan tentang hak, peranan, tanggungjawab dan larangan yang boleh dilakukan oleh golongan Yahudi dengan Muslim dan sebaliknya.

Di antaranya ialah peranan untuk saling membiayai negara dan pertahanan secara bersama, kesalahan individu adalah bukan kesalahan umum, jaminan untuk sesama mempertahankan keluhuran Kota Madinah, jaminan hak jiran tetangga dan wanita, larangan untuk membelot dan menyokong musuh, larangan melakukan dosa dan kesilapan, kesanggupan berdamai dengan sesiapa sahaja kecuali musuh Islam dan larangan untuk menjadikan piagam ini sebagai pelindung pesalah.

Akhir sekali ialah pengiktirafan kaum Muslimin dan Yahudi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Pesuruh ALLAH dan ketua negara.

Daripada intipati Piagam Madinah, dapatlah kita simpulkan beberapa faedah yang boleh dimanfaatkan iaitu pertama (1) kerukunan dan kesejahteraan ummah adalah bukan dicapai dengan menghilangkan fitrah asal kejadian manusia yang mempunyai bangsa yang berbeza-beza bahkan ia perlu diraikan.

Kedua (2) hak dan tanggungjawab kaum bukan Islam adalah setara dengan hak Muslim selama mana mereka menjaga tanggungjawab sebagai rakyat yang taat dan patuh kepada perjanjian, ketiga (3) kekukuhan ukhuwwah sesama rakyat adalah tunjang kepada kesepaduan, keempat (4) bersama membuat maaruf dan menegah mungkar, kelima (5) tidak boleh belot dan merungkaikan kesatuan dan akhir sekali ialah pengiktirafan Allah dan RasulNya sebagai sumber rujukan dan perundangan.

Intipati-intipati ini boleh digunapakai di dalam memperkukuhkan lagi kesatuan ummah Malaysia demi mewujudkan keharmonian dan ketamadunan yang kukuh dan maju dan bukannya untuk merobekkan keutuhan yang telah terbentuk sekian lama.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia