KPDNHEP Selangor rampas 30,000 liter diesel subsidi

Serbuan KPDNHEP menemui tangki simpanan diesel subsidi di sebuah premis di Kuala Selangor.
Serbuan KPDNHEP menemui tangki simpanan diesel subsidi di sebuah premis di Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 30,000 liter diesel subsidi bernilai RM63,750 dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini pada 28 dan 29 Julai lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, tindakan itu berjaya dibongkar Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan KPDNHEP Selangor bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor (SPRM) setelah menjalankan pemantauan, risikan dan serbuan di lokasi terbabit.

Menurut beliau, dua premis berbeza membabitkan sebuah syarikat lombong pasir terletak di kawasan perlombongan, di sini dan stesen minyak beroperasi di Jalan Rawang, Bestari Jaya telah disiasat.

"Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan secara bersepadu terhadap kedua-dua premis mendapati aktiviti urus niaga jual beli minyak diesel antara stesen minyak dengan pemandu lori pasir tersebut.

"Siasatan mendapati, minyak diesel yang dibeli lori pasir tersebut dibawa dan disimpan di dalam skid tank yang ditemui berada di kawasan lombong pasir," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, dalam serbuan pertama di kawasan lombong pasir turut menahan dua pemandu lori dan salah seorang daripada mereka warga Indonesia.

Jelas beliau, penahanan itu dilakukan berikutan kedua-dua mereka dipercayai melakukan pengisian minyak diesel ke dalam skid tank yang berada di atas lori masing-masing.

"Pada masa sama, penahanan turut dibuat ke atas seorang lelaki yang dipercayai penyelia kawasan lombong pasir.

"Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan tindakan sitaan telah dilaksanakan di kawasan lombong pasir melibatkan dua lori jenis treler, tiga unit skid tank dan resit pembelian minyak diesel," katanya.

Ujar beliau, sejumlah 20,400 liter anggaran jumlah minyak diesel disita di lokasi pertama dengan nilai rampasan barangan kawalan termasuk kenderaan dianggarkan keseluruhan berjumlah RM162,500.

Katanya, serbuan kedua di stesen minyak mendapati terdapat urus niaga antara pemilik dengan pemandu lori daripada kawasan lombong pasir berkenaan.

Tegas beliau, tindakan sitaan resit jualan minyak diesel dan dokumen berkaitan dilakukan bagi siasatan lanjut.

"KPDNHEP turut menjalankan serbuan di lokasi ketiga pada keesokannya (29 Julai lalu) di sebuah premis tanpa nombor, di kawasan lombong pasir terletak di Bestari Jaya di sini.

"Hasil serbuan itu, pasukan kami berjaya menyita dua unit skid tank disyaki berisi minyak diesel dengan anggaran jumlah 15,000 liter," katanya.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan ditempat yang tidak dilesenkan.

"Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 20 (1) akta sama iaitu memindah atau menyimpan barang kawalan di tempat tidak berlesen dan subseksyen 7 (4) akta sama iaitu gagal mengemukakan lesen atau surat kebenaran dalam masa munasabah apabila diminta oleh pegawai bekalan.