Isu akta tangani pembaziran makanan antara tumpuan Dewan Rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keperluan mewujudkan akta bagi menangani isu pembaziran makanan yang berleluasa di dalam negara antara topik yang dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan itu diajukan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ingin tahu sama ada kementerian itu berhasrat mewujudkan akta berkenaan, semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Anthony Loke (PH-Seremban) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar daripada kerajaan dan apakah projek tersebut berdaya saing serta memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.

Selain itu, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan bagaimanakah semangat bipartisan dapat dipupuk dan diamalkan dalam kalangan pemimpin negara berbilang fahaman.

Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) pula dijangka meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah solusi kementerian berkenaan dalam mengurangkan kadar pengangguran negara seperti paras prapandemik COVID-19 pada kadar 3.5 peratus.

Selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini yang bermula pada 18 Julai lepas berlangsung selama 12 hari hingga Khamis (4 Ogos) ini. - Bernama