Lantik TPM selepas pilihan raya saja

Tunggu sahajalah sehingga PRU15 selesai dan lihat parti mana berjaya membentuk kerajaan. - Foto Bernama
Tunggu sahajalah sehingga PRU15 selesai dan lihat parti mana berjaya membentuk kerajaan. - Foto Bernama
A
A
A

KETIKA negara sedang menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), desakan untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada masa ini amat tidak sesuai, malah tidak diperlukan.

Kita sepatutnya sudah bergerak ke hadapan menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda negara, lebih-lebih lagi masalah ekonomi rakyat.

Barisan menteri kabinet sepatutnya melakukan yang terbaik untuk menyelamat negara supaya tidak menjadi seperti Sri Lanka.

Malangnya, ketika ini ada pihak terus mendesak supaya diberikan jawatan yang tidak ada pun dalam peruntukan Perlembagaan negara.

Apa sebenarnya tugas dan tanggungjawab seorang TPM?

Biasanya, seorang TPM akan memangku jawatan sekiranya Perdana Menteri (PM) berada di luar negara atau sakit.

Selain itu, PM akan memberikan tugasan kepada TPM untuk mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dan memantau perkembangan tugasan diberikan.

Selain daripada itu, jawatan tersebut hanyalah gah sebagai nama sahaja.

Sebelum ini, ketika Barisan Nasional (BN) memegang tampuk pemerintahan negara, TPM antara mereka yang bakal mengambil alih jawatan tertinggi negara sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, ramai yang tidak berjaya untuk menjadi PM seperti Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pula adalah yang berjaya naik pangkat selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menjadi TPM dan akhirnya berjaya menjadi PM selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Bagaimanapun, ketika pentadbiran Muhyiddin, beliau mengambil langkah bijak iaitu mewujudkan jawatan menteri kanan bagi memberikan keadilan kepada semua pihak supaya tidak menuntut jawatan tersebut.

Menteri-menteri kanan ini adalah setara jawatan sebagai seorang TPM.

Berbalik kewajaran menuntut jawatan tersebut, peranan dimainkan menteri-menteri kanan pada ketika ini sudah memadai.

Lagipun, pilihan raya tidak lama lagi. Ada yang meramalkan ia selepas pembentangan belanjawan pada Oktober, atau sehingga cukup tempoh matang iaitu Julai tahun depan.

Tunggu sahajalah sehingga PRU15 selesai dan lihat parti mana berjaya membentuk kerajaan. Ketika itu, terpulang untuk menentukan siapa layak menjadi PM dan TPM.