'Nilai semula penarafan Tahap 3 Malaysia'

Ismail Sabri dan Nancy Pelosi bergambar selepas majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri dan Nancy Pelosi bergambar selepas majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia meminta Amerika Syarikat (AS) menilai semula penarafan Tahap 3 (Tier 3) kepada negara ini dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan oleh negara tersebut.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi yang mengetuai delegasi ke Malaysia.

"Semasa majlis makan tengah hari, saya telah menyatakan komitmen berterusan Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia," tulis Ismail Sabri di laman Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

Laporan yang dikeluarkan pada 20 Julai itu mendedahkan kerajaan gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia serta tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian walaupun mengambil kesan wabak Covid-19 terhadap kapasiti anti-pemerdagangan negara.

Kali terakhir Malaysia mencapai Tier 2 adalah pada 2017 dan berada di senarai pemantauan Tier dua dari 2018 sehingga 2020.

Tahun lalu, Malaysia dikategorikan berada di Tier tiga bersama Vietnam, Kemboja, Brunei dan Macau.

Dalam pada itu, AS turut digesa agar memainkan peranan lebih penting untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap krisis itu termasuk membantu penyelesaian isu Rohingya.

"Saya mengucapkan selamat datang kepada delegasi AS," katanya.

Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Nancy Pelosi dalam majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Nancy Pelosi dalam majlis makan tengah hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Malaysia dan AS telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 60 tahun lalu, selain menjadi rakan kongsi penting dalam semua bidang.

"Sebagai contoh, dalam bidang ekonomi, As merupakan rakan dagang dan pelabur utama Malaysia," katanya.

Ismail Sabri berkata, pada tahun ini nilai dagangan Malaysia-AS berjumlah RM216.97 bilion, manakala nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM117.44 bilion.

"Dalam kerjasama pertahanan, Malaysia menghargai bantuan yang diterima daripada AS melebihi AS$200 juta sehingga tahun ini.

"Begitu juga semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, AS banyak membantu, termasuk bantuan percuma vaksin Pfizer sebanyak 1 juta dos," katanya.