Kibar Jalur Gemilang hilangkan debaran calon ujian memandu

Calon-calon ujian lesen memandu turut terbabit dalam kempen kibar Jalur Gemilang di Pakatan Latihan Memandu Baling pada Selasa.
Calon-calon ujian lesen memandu turut terbabit dalam kempen kibar Jalur Gemilang di Pakatan Latihan Memandu Baling pada Selasa.
A
A
A
BALING - Debaran lebih 100 calon ujian lesen memandu kereta dan motosikal di sebuah pusat latihan memandu di sini hilang seketika selepas menyertai kempen kibar Jalur Gemilang pada Selasa.

Pengarah Urusan Pakatan Latihan Memandu Baling, Muhammad Mumtaz Zulkifli berkata, syarikat berkenaan melancarkan kempen berkenaan lebih awal bertujuan memberi peringatan kedatangan bulan kemerdekaan selain menggalakkan lebih ramai untuk berbuat demikian.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja diharapkan mampu menarik lebih ramai rakyat menunjukkan semangat kemerdekaan yang sama sekali gus memupuk rasa patriotik dan cintakan negara.

"Kita turut memasang Jalur Gemilang di semua kenderaan pusat latihan memandu dan kawasan sekitar," katanya menjelaskan tentang kempen berkenaan.

Program berkenaan dilancarkan Pegawai Penguat kuasa Pengujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Baling, Noorliana Suleiman Lee.

Jelas Muhammad Mumtaz, kempen berkenaan akan dilaksanakan selama dua bulan dalam usaha menarik lebih ramai rakyat untuk kibarkan Jalur Gemilang dengan rasa megah dan bangga.

Calon ujian memandu, Mohd Akif Alif Jailani,19, berkata, kempen berkenaan harus dijadikan contoh dan dilaksanakan di pelbagai agensi dan peringkat.

"Bila ada yang mulakan, pasti akan diikuti pihak lain selepas ini, dan diharapkan semangat patriotisme dan pertahankan negara ini bukan sahaja perlu ditunjukkan dalam bulan Ogos semata-mata, malah sampai bila-bila," katanya.