9 anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah, Sarawak

SHAH ALAM - Sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.
"Kesemua anggota yang terlibat telah ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.
"Siasatan masih dijalankan melibatkan semua aspek dan saya tegaskan bahawa Polis Selangor sama sekali tidak berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah," katanya.