Pemulihan Tasik Chini cecah 80 peratus

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Usaha untuk memulihkan kehijauan di sekitar Tasik Chini, Pekan dan kawasan sekitar telah mencecah hampir 80 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan dilihat sewaktu mengadakan lawatan ke tasik terbabit kira-kira dua minggu lalu.

“Kawasan Tasik Chini sudah dipulihkan 80 peratus dengan kehijauan dan mengenai Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berhubung rizab biosfera, kita sedang usahakan dan pastikan akan kekalkan status itu.

“Cakap sahaja tidak menjadi tetapi tindakan sudah diambil apabila mesyuarat kerajaan negeri pada 14 Julai lalu telah bersetuju mewartakan tanah kerajaan sebagai Hutan Tasik Chini mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Lee Chean Chung (PKR-Semambu) dalam soalan tambahan mahu penjelasan Kerajaan Pahang berhubung usaha yang telah dilakukan bagi memastikan khazanah alam sekitar terjaga dan langkah yang diambil oleh kerajaan Pahang sehingga 30 September depan untuk mengekalkan status rizab biosfera.

Wan Rosdy menjelaskan, agensi kerajaan di Pahang telah memulakan pelbagai usaha untuk memastikan tasik air tawar kedua terbesar di negara ini dan kawasan sekitarnya kembali pulih.

“Usaha pemulihan tasik itu termasuk menanam tanaman penutup tanah di kawasan seluas kira-kira 200 hektar dengan kos RM3.95 juta.

“Dana Pembangunan Hutan telah diperuntukkan untuk usaha penanaman semula yang bermula pada 23 Ogos tahun lalu dan berakhir pada 31 Julai lalu,” katanya.

Malah katanya, kerajaan Pahang turut mengadakan usahasama bersama masyarakat Orang Asli di kawasan setempat bagi melaksanakan Projek 'Buy Back Guarantee' tapak semaian Tasik Chini.

“Proses penyemaian pokok dilakukan oleh masyarakat terbabit dan sehingga kini sebanyak 3,344 pokok telah dibeli kembali oleh Jabatan Perhutanan Negeri untuk ditanam semula di tasik berkenaan.

“Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah mengadakan kempen kesedaran membabitkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Tasik Chini yang telah dilaksanakan pada Februari lalu dengan melibatkan 400 peserta dan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 1,000 anak pokok telah diserahkan kepada penduduk setempat,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian pada 26 Julai lalu,kerajaan Pahang diberi tempoh sehingga 30 September depan untuk membuat penambahbaikan ke atas laporan semakan berkala Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, susulan itu kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini selaras dengan cadangan International Advisory Committee for Biosphere Reserves (IACBR).

Tapak Rizab Biosfera adalah tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara bagi mempromosikan pembangunan mampan dan diiktiraf di bawah program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO.