Tengku Hassanal titah hijaukan semula Tasik Chini

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah - Foto fail Bernama
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah - Foto fail Bernama
A
A
A

PEKAN - Kerajaan Pahang digesa bertindak lebih agresif dalam memastikan Tasik Chini dapat dipulihkan dan dihijaukan semula seperti sebelum ini.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pemulihan kawasan itu dapat mengembalikan kegemilangan dan peranan asal tasik berkenaan yang memanfaatkan penduduk sekitar, malah fungsi semula jadinya sebagai biosfera akan kekal lestari.

Titah baginda, bagi tujuan itu, pajakan lombong yang telah tamat tempoh hendaklah ditamatkan dan kawasan Tasik Chini perlu dihijaukan dalam masa terdekat.

"Saya juga menyokong langkah moratorium yang telah diambil oleh kerajaan Pahang di kawasan Tasik Chini.

“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan oleh semua pihak, bukan sahaja kerajaan Pahang, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen serta turut sama dalam menjayakan usaha ini," titah baginda bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini pada Isnin.

Tengku Hassanal bertitah, pemeliharaan alam sekitar, flora, dan fauna, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Titah baginda, ini kerana sudah wujud pelbagai akta dan enakmen yang spesifik tentang perlindungan alam sekitar di negara serta di negeri ini.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, segala usaha akan gagal, sia-sia dan tidak berkesan. Justeru, saya bertitah agar agensi dan badan penguatkuasaan perlu memainkan peranan masing-masing secara serius.

"Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak mahu lagi melihat kejadian seperti memasuki hutan tanpa kebenaran, pencurian hasil hutan seperti pokok dan balak, aktiviti pemburuan haram, menangkap ikan terlarang dengan bom, racun atau renjatan elektrik.

"Rondaan dan pemantauan perlu dijalankan dengan lebih kerap dan teliti. Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar selepas ini," titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah, semua pihak tanpa mengira darjat dan kedudukan perlu akur dan patuh kepada undang-undang sama ada ahli kerabat, ahli yang berhormat, ahli politik, ketua jabatan, penjawat awam mahupun rakyat.

"Alam ini adalah milik kita bersama dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya secara bersama," titah baginda.

Selain itu, Tengku Hassanal menzahirkan rasa berbesar hati atas penubuhan pasukan khas bagi melindungi hidupan liar di Pahang.

Titah baginda, penubuhan Unit Renjer Hidupan Liar Pahang sejajar dengan ikrarnya dalam usaha memelihara dan memulihara Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan populasi Harimau Malaya di negara lebih-lebih lagi di negeri saya,” titah baginda.