Rizab air terawat rendah punca masalah bekalan air di Kelantan, Kedah

Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto Bernama.
Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rizab margin air terawat yang sangat rendah iaitu kosong peratus di Kelantan dan Kedah menjadi faktor masalah bekalan air terus berlanjutan di kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keadaan ini meletakkan bekalan air di kedua-dua negeri sangat terdedah kepada risiko gangguan sekiranya berlaku kenaikan permintaan secara mendadak.

Selain itu katanya, punca lain menyumbang kepada masalah itu adalah purata kadar tarif yang rendah iaitu RM1.12/m3 di Kelantan dan RM1.11/m3 di Kedah berbanding purata tarif kebangsaan RM1.68/m3 menyebabkan kedua-dua negeri ini sukar untuk melaksanakan perbelanjaan operasi (OPEX) dan perbelanjaan modal (CAPEX) untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada pengguna.

“Keadaan ini secara tidak langsung juga menjejaskan kemampuan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Syarikat Air Kedah Darulaman Sdn Bhd (SADA) untuk membayar sewa pajakan CAPEX kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Punca lain adalah kadar kehilangan air (NRW) yang tinggi iaitu 52.6 peratus di Kelantan dan 49.9 peratus di Kedah berbanding purata kebangsaan 36 peratus.

“NRW yang tinggi sangat menjejaskan pengoperasian dan hasil kedua-dua operator dalam memenuhi permintaan air yang kian meningkat daripada sektor domestik dan industri,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bertanyakan apakah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyedari masalah bekalan air terawat di Kedah dan Kelantan begitu serius serta apakah punca sebenar masalah ini berlarutan begitu lama serta perancangan bagi menyelesaikan masalah dalam masa yang terdekat ini.

Tambah Tuan Ibrahim, penyelesaian kepada isu air di kedua buah negeri ini memerlukan tindakan berterusan secara proaktif melibatkan tiga aspek utama iaitu pembangunan aset-aset air, kemampanan kewangan dan intervensi kawal selia yang lebih mantap.

Jelasnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah menubuhkan pasukan petugas Bekalan Air Kelantan dan Kedah untuk tujuan aspek intervensi kawal selia.

“Pasukan ini ditugaskan untuk memastikan pemantauan lebih rapi ke atas pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), pelaksanaan projek sumber dan bekalan air, pemantapan program NRW, pematuhan indikator kualiti air oleh AKSB dan SADA,” katanya.