Tiada laporan masalah kedatangan pelajar YIK

Engku Rajhan (tengah) melihat sofa terpakai yang disumbangkan oleh pihak Hotel The Grand Renai sambil diperhatikan Amer (kiri) dan Mohd Zaki.
Engku Rajhan (tengah) melihat sofa terpakai yang disumbangkan oleh pihak Hotel The Grand Renai sambil diperhatikan Amer (kiri) dan Mohd Zaki.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak menerima sebarang laporan mengenai masalah kehadiran pelajar selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail bagaimanapun berkata, ada pelajar yang bertukar aliran selepas pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Covid-19.

"Ketika itu ada ibu bapa yang memikirkan kebolehan anak-anak dalam aliran lain selepas PdPR dan ia merupakan perkara biasa," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Penyerahan Perabot Terpakai kepada YIK pada Selasa.

Hadir sama, Pengurus Besar Hotel The Grand Renai, Amer Ahmad dan Timbalan Pengarah (Akademik), Mohd Zaki Deraman.

Engku Rajhan memberitahu, perkara berkenaan bukan masalah besar kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, ketika tempoh endemik juga, pelajar boleh belajar secara bersemuka dan mengikuti kelas tambahan.

"Kita turut mengarahkan pengurusan sekolah melaksanakan kelas tambahan kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar," katanya.

Selain itu, Engku Rajhan turut memaklumkan penghantaran pelajar cemerlang menyambung keluar negara diteruskan selepas pandemik Covid-19.

Tambah beliau, seramai 300 pelajar akan menyambung pengajian dalam pelbagai bidang di beberapa universiti di timur tengah termasuk Jordan, Madinah dan Arab Saudi.

"Kesemua mereka perlu menjalani kursus asas bahasa Arab kira-kira seminggu bagi membolehkan sesi pembelajaran di universiti lebih lancar," katanya.