Kerajaan Selangor perlu teruskan legasi Abdul Khalid

Rodziah
Rodziah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor yang sedia ada perlu meneruskan program serta inisiatif yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi memberi manfaat kepada rakyat di negeri tersebut.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, Allahyarham Abdul Khalid banyak mendidiknya dari segi pembuatan dasar-dasar yang bermanfaat kepada rakyat ketika beliau berkhidmat di bawahnya selama enam tahun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu tidak dapat menahan sebak apabila bercerita tentang pengalamannya bekerja di bawah kepimpinan Allahyarham yang diibaratkan sebagai seorang guru.

"Pemergian beliau ibarat permata yang akan sentiasa dikenang dan sebenarnya kita perlu reda dengan ketentuan ini.

"Kita yang ada ini akan memberikan yang terbaik untuk terus menjejaki usaha-usaha yang selama ini beliau buka dan kita tidak mengkhianati apa yang arwah pesan kepada kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Isnin selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdul Khalid.

Azmizam
Azmizam

Dalam pada itu, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, antara inisiatif yang masih diteruskan hasil cetusan idea Allahyarham Abdul Khalid ialah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat Selangor.

Selain itu, Azmizam turut kagum dengan keberanian Allahyarham untuk melaksanakan kerja pembersihan Sungai Klang ketika beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada tahun 2008 hingga 2015.

"Jika dulu Sungai Klang antara yang terkotor di Malaysia, tapi bermula inisiatif yang dimulakan oleh arwah, sungai itu dah mula bersih kerana sistem ekologinya beransur pulih berikutan terdapat lebih 22 spesis buaya membiak di sungai tersebut.

"Ketokohan arwah memang tiada tandingan dan saingan, malah hingga kini kita masih meneruskan program serta inisiatif untuk rakyat Selangor yang diilhamkan olehnya," katanya.

Teresa Kok
Teresa Kok

Bagi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula, ketokohan Allahyarham Abdul Khalid terpancar apabila beliau berjaya menstabilkan anak-anak syarikat kerajaan Selangor yang ketika itu mengalami kerugian akibat pertukaran tampuk kepimpinan pada tahun 2008.

Katanya, Allahyarham yang mempunyai latar belakang dalam bidang korporat dan perakaunan sering bertemu dengan semua barisan kepimpinan syarikat berkenaan untuk berbincang bagi menstabilkan entiti tersebut.

"Beliau akan audit semua anak syarikat, berjumpa dengan barisan kepimpinan syarikat tersebut serta meminta mereka mengikut prinsip pentadbiran korporat yang dibawa olehnya.

"Setiap tiga bulan, arwah akan umumkan jumlah wang simpanan kerajaan negeri dan hingga kini, ia dilaksanakan walaupun beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Selangor.

"Ketika pertukaran kerajaan berlaku di Selangor, kepimpinan beliau berjaya menstabilkan negeri tersebut, dan saya amat menghargai setiap masa saya bekerja dengannya," ujarnya.

Beberapa ahli Parlimen dan Exco Selangor hadir ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Isnin selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdul Khalid.

Antara exco Kerajaan Selangor yang turut hadir di sini ialah Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian dan Exco Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah.

Turut hadir Exco Selangor yang lain iaitu Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim.

Pada masa sama, ADUN yang hadir di sini ialah ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.