Abdul Khalid MB terbaik, disayangi rakyat Selangor

Gambar kenangan ketika Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor.
Gambar kenangan ketika Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan Menteri Besar terbaik yang disayangi rakyat dan ahli Pas di Selangor.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat rakyat dan negara.

Menurutnya, Pesuruhjaya Pas Selangor, saf pimpinan dan ahli-ahli parti merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Rasulullah SAW bersabda: Tujuh jenis manusia yang dinaungi ALLAH SWT pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naungan-Nya; pertamanya ialah imam (pemimpin atau raja) yang adil...” (Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031).

"Sesungguhnya, Abdul Khalid anak jati Jeram, Kuala Selangor adalah negarawan terbilang dan Menteri Besar Selangor terbaik dalam rekod yang kompeten, bersih dan paling berintegriti," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Allahyarham juga sangat dihormati dan disayangi rakyat Selangor termasuk ahli-ahli Pas negeri tersebut.

Tambahnya, Pas Selangor mengarahkan ahli-ahlinya untuk turun memberi penghormatan terakhir kepada jenazah pemimpin hebat itu.

Pemergian Abdul Khalid kehilangan besar rakyat Selangor

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han menyifatkan pemergian Abdul Khalid disifatkan sebagai satu kehilangan besar untuk rakyat di negeri Selangor.

Sze Han
Sze Han

Beliau berkata, Allahyarham seawal kepimpinannya memperkenalkan pelbagai dasar dan garis panduan supaya kerajaan negeri mempunyai tadbir urus yang berintegriti dan cekap.

Menurut beliau, Allahyarham sepanjang menerajui kerajaan Selangor telah membina kepercayaan rakyat dan kakitangan awam selain keberkesanan dasar kerajaan negeri yang berterusan hingga pada masa sekarang.

"Semasa pentadbiran beliau, saya bertugas sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Subang Jaya dapat rasakan dasar tadbir urus yang baik.

"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelasnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, jam 11.08 malam Ahad akibat jangkitan pada injap jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir serta melakukan solat jenazah.

Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.