Jenazah Abdul Khalid selamat dikebumikan

Sultan Sharafuddin berkenan menyiram air mawar di kubur Allahyarham Abdul Khalid di Makam Diraja Shah Alam, pada Isnin.
Sultan Sharafuddin berkenan menyiram air mawar di kubur Allahyarham Abdul Khalid di Makam Diraja Shah Alam, pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selamat dikebumikan sekitar jam 2.30 petang di Makam Diraja Shah Alam, di sini pada Isnin.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis pengebumian berkenaan.

Antara yang hadir menyaksikan perjalanan akhir Allahyarham Abdul Khalid ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Allahyarham Abdul Khalid yang meninggal dunia pada 11.08 malam Ahad dimandi dan dikafankan terlebih dahulu di Masjid Saidina Umar Al Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, jam 8 pagi pada Isnin.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Salahuddin Abdul Aziz pada jam 11 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di sini.