Sepak takraw: Skuad kebangsaan bakal dirombak secara total

No Image Caption
A
A
A

SKUAD sepak takraw kebangsaan akan melalui rombakan besar-besaran berikutan pencapaian kurang memuaskan Malaysia di Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok, baru-baru ini.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) Datuk Suhaili Abdul Rahman sekali gus menyaksikan tiada jaminan untuk pemain sedia ada dipanggil semula mewakili negara pada masa akan datang.

Katanya, pemain yang mewakili negara di Bangkok adalah pemain yang sebelum ini bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan beliau dapat melihat faktor masalah disiplin di gelanggang mengakibatkan mereka gagal menampilkan prestasi terbaik.

"Jadi selepas ini, pemain yang akan dipilih sama ada untuk ke Sukan SEA, Sukan Asia atau pun kejohanan di Korea Selatan November ini, Mastaf akan pastikan pemain-pemain yang dihantar bukan sahaja berkualiti tetapi berdisiplin.

"Setiap pemain mempunyai tanggungjawab untuk membanggakan negara, mereka dipilih bukan sahaja sebagai pemain tetapi dipilih memikul tugas untuk memartabatkan nama negara kita di peringkat antarabangsa dalam arena sukan sepak takraw,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 yang menutup tirainya semalam dengan pencapaian satu pingat emas dalam acara Beregu Lelaki dan tiga gangsa masing-masing menerusi Regu Lelaki, Regu Berpasukan Lelaki dan Beregu Wanita.

Suhaili berkata, berdasarkan persembahan di Bangkok, pemain sedia ada dalam skuad kebangsaan kurang menunjukkan disiplin permainan yang diharapkan sekali gus menjejaskan peluang Malaysia untuk meraih keputusan lebih baik di kejohanan itu.

"Saya lihat kesungguhan dan semangat juang kurang kerana mudah hilang mata atas kesalahan yang tidak sepatutnya dan ia selalu berulang. Kita berikan banyak mata percuma kepada pihak lawan. Kita boleh dapat perak atau satu lagi emas kalau pemain ini ada komitmen yang tinggi untuk menang,” katanya.

Malah, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiasat mengenai maklumat yang diterima mengatakan ada pihak tertentu mahu barisan pemain negara bermain untuk kalah, namun enggan mendedahkan butiran lanjut sehingga siasatan selesai.

Dalam pada itu, beliau yang baru dilantik menjawat jawatan naib presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berkata rombakan bakal dilakukan itu turut melibatkan setiap pengurus pasukan dan barisan kejurulatihan yang akan dibuat secara drastik.

"Dari pengurus pasukan sehingga jurulatih, semua kita akan pastikan bertukar untuk pertandingan akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya dalam ISTAF, Suhaili berkata ia membuktikan Mastaf mendapat kepercayaan badan induk antarabangsa untuk menerajui sukan sepak takraw negara.

"ISTAF adalah satu badan penting kerana ia menggubal dasar sepak takraw antarabangsa, yang diguna pakai oleh seluruh negara yang menjadi ahli gabungan mereka,” katanya. - Bernama