2,000 pendikir bakal bergabung

Muhamad Redzuan (tiga dari kanan) bersama Rashdan (tengah) dan Tuan Azizah (kanan) berbincang mengenai program selepas sidang media pada Isnin.
Muhamad Redzuan (tiga dari kanan) bersama Rashdan (tengah) dan Tuan Azizah (kanan) berbincang mengenai program selepas sidang media pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 2,000 pendikir dari seluruh Pantai Timur bakal bergabung di Stadium Sultan Muhammad IV dalam satu persembahan yang dijangka berlangsung pada awal November depan.

Mereka merupakan pemenang dalam pencarian pendikir terbaik di Kelantan, Terengganu dan Pahang melalui pertandingan yang bermula 1 September depan.

Menurut Penyelaras Program 2,000 Pendikir, Muhamad Redzuan Rosli, pendikir juga akan dipilih dalam kalangan anak muda yang mahu mencari peluang dan memartabatkan industri hiburan.

Muhamad Redzuan yang juga pemilik Diwanawi Production berkata, pertandingan akan diadakan di setiap daerah supaya lebih ramai golongan muda dan pelajar menyertai pertandingan ini.

"Kita akan memilih 1,000 pelajar sekolah menengah dan 1,000 anak muda yang berminat untuk bersama dalam program ini selain jemputan khas kumpulan Lefthanded," katanya kepada pemberita pada sidang media 2,000 Pendikir di sini pada Isnin.

Hadir sama, pemilik Ziey Beauty, Tuan Azizah Tuan Jaafar dan pelakon, Rashdan Baba.

Bekas peserta realiti televisyen terbitan Suhan Movies & Trading, Pilih Kasih itu turut memberitahu, ramai anak muda tidak diberi peluang untuk meneroka minat mereka.

Muhamad Redzuan bagaimanapun berkata, usaha itu mendapat sokongan ZieBeauty yang menjadi penaja utama program berkenaan.

"Kita tidak menolak jika ada yang mahu bergabung menjayakan program ini supaya dapat mencari lebih ramai bakat baharu.

"Ramai lagi anak muda tidak dibimbing. Justeru, kita menggunakan #anakmudaberubah untuk mengembangkan minat dan kebolehan mereka," ujarnya.

Selain itu, Diwan Nawi memaklumkan syarikat itu kini sedang melatih 1,000 anak muda untuk menjadi usahawan perfileman dalam tempoh setahun.

Katanya, media sosial terutama YouTube pula menjadi platform utama mereka untuk lebih dikenali dan memberi impak besar dalam bidang itu.

Pada majlis sama turut diadakan sumbangan barangan dapur daripada Ziey Beauty kepada golongan memerlukan dan pembukaan butik kecantikan Ziey Beauty.