Pendaki Istana Abdul Aziz Fan tawan Gunung Tahan

Pendaki Istana Abdul Aziz Fan berjaya tawan Gunung Tahan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pendaki Istana Abdul Aziz Fan berjaya tawan Gunung Tahan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
A
A
A

JERANTUT - Kumpulan pendaki Istana Abdul Aziz Fan berjaya menawan puncak Gunung Tahan berketinggian 2,187 meter baru-baru ini biarpun terpaksa berdepan cuaca hujan dan sejuk hampir setiap hari.

Ekspedisi membabitkan 20 pendaki itu memulakan pendakian mereka pada 24 Julai lalu dengan misi menawan puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Ekspedisi, Mohd Nasuha Shamsuddin berkata, ekspedisi selama lima hari empat malam itu antara yang sukar dihadapi kumpulan mereka.

Menurutnya, hujan sepanjang hari antara cabaran dalam pendakian ke puncak Gunung Tahan menerusi laluan Merapoh-Merapoh (M2M).

"Misi sejauh 64 kilometer dengan turun dan naik gunung sememangnya mencabar kekuatan fizikal dan mental setiap pendaki apabila trek laluan menjadi lebih licin terutamanya di kawasan berbatu selain banyak akar pokok.

"Alhamdulillah misi berjaya dibawa dan kami dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah serta ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda," katanya.

Bercerita lanjut berkenaan misi ekspedisi berkenaan, Mohd Nasuha mewakili kumpulan pendaki turut menyampaikan penghargaan di atas sokongan baginda yang turut memberi kata-kata semangat atas usaha yang dilakukan.

"Sebagai rakyat negeri ini, sudah pasti kami gembira dengan sambutan Hari Keputeraan Baginda dan mendoakan semoga Tuanku sentiasa dilimpahi hidayah-Nya, juga beroleh 'Afiah' serta penuh kedaulatan.

"Tuanku adalah seorang figura Diraja yang berjiwa rakyat dan sudah pasti usaha kecil kami ini adalah untuk menzahirkan rasa kasih kami selaku rakyat terhadap pemerintahan Tuanku yang kami sanjungi," ujarnya.