Tujuh cedera insiden tembakan di Orlando, AS

Ketua Polis Orlando Eric Smith. - Foto CNN
Ketua Polis Orlando Eric Smith. - Foto CNN
A
A
A

WASHINGTON - Tujuh orang cedera dalam satu kejadian tembakan di pusat bandar Orlando, Florida, awal pagi Ahad, lapor Xinhua, memetik polis.

Ketua Polis Orlando Eric Smith memberitahu pemberita, bahawa tembakan tercetus susulan pergaduhan di kawasan Wall Street Plaza dan South Orange Avenue pada kira-kira jam 2 pagi (0600 GMT) ketika bar dan restoran sedang ditutup.

Seorang penembak yang tidak dikenali mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai, mencederakan tujuh mangsa.

Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil, kata Smith.

Polis sedang mencari maklumat mengenai suspek.

Menurut data terkini, daripada Arkib Keganasan Senjata, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, setakat tahun ini, sekurang-kurangnya berlaku 382 kejadian tembakan rambang di Amerika Syarikat. - Bernama