PRU15: Kerusi, calon Pas ditentukan bersama PN

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) diiringi Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menyempurnakan pelancaran Kempen Keahlian Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Pahang sempena H20K di Pantai Sepat, pada Ahad.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) diiringi Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menyempurnakan pelancaran Kempen Keahlian Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Pahang sempena H20K di Pantai Sepat, pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Bilangan kerusi serta calon Pas untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diputuskan bergantung kepada hasil perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas yang berdaftar sebagai komponen PN akan bersama perikatan itu bagi menghadapi PRU15 di Pahang.

Menurutnya, hubungan Pas Pahang dengan kerajaan negeri masih baik namun tiada sebarang perbincangan berkaitan pilihan raya dengan UMNO Pahang setakat ini.

"Pas masih mendokong hasrat penyatuan ummah namun UMNO telah membuat keputusan untuk bergerak solo.

"Sekiranya UMNO kekal dengan pendirian itu, kami akan bersama PN namun pintu kerjasama masih terbuka untuk penyatuan ummah," katanya dalam sidang akhbar sempena Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20K (H20K) di Pantai Sepat di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Tuan Ibrahim berkata, Pas tidak meletakkan tempoh masa untuk Muafakat Nasional (MN) namun tidak boleh menunggu untuk kerjasama itu sekiranya tarikh pilihan raya semakin hampir.

"Kerangka MN perlu menyeluruh dan tidak boleh hanya melibatkan negeri tertentu. Tidak bolehlah di Pahang kita berpakat tetapi di negeri-negeri lain bertembung.

"Kalau nak berpakat, kena berpakat seluruh negara kerana ia perlu dilihat dalam kerangka lebih besar untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Menurutnya, Pas kini bersedia dengan PN memandangkan perikatan itu telah dilancarkan di Kelantan dan Terengganu sebelum ke negeri lain termasuk Pahang.

"Soal kerjasama MN terpulang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana asas kita masih pertahankan penyatuan ummah.

"Ummah perlu bersatu kerana itu gagasan kita, cuma dalam konteks politik ia bergantung kepada ketiga-tiga parti.

"Kalau UMNO kata nak solo, kami sedia hadapi namun sekiranya mereka ubah fikiran, akan bincang kemudian," katanya.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata, penyatuan ummah dalam konteks MN harus kekal.

"Kalau bukan untuk penyatuan politik dan pilihan raya, ia patut menjadi platform untuk penyatuan ummah.

"Rasanya tiada isu jika semua dapat terima kerana Pas ada pengalaman dengan pelbagai parti sebelum ini. Kami tahu senarionya dan paling penting ummah kena ada platform penyatuan," kata beliau.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, H20K merupakan platform mengumpulkan jentera dan ahli parti untuk melihat kekuatan Pas di Pahang.

"Semangat baharu ditunjukkan seluruh jentera, ahli dan penyokong Pas di semua peringkat dilihat mampu menjadi penggerak kepada persiapan menghadapi PRU15 sesuai dengan tema H20K, Pas terajui Pahang," katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menarik perhatian hadirin apabila sempat melelong sebentuk cincin batu marjan untuk tabung PRU15.

Cincin yang pernah dimilikinya itu dilelong untuk tujuan sama pada PRU14 yang berjaya dimiliki seorang individu iaitu pembida tertinggi pada masa tersebut.

Barang perhiasan tersebut dilelong kembali dengan nilai bidaan bermula dari RM100 dan berjaya menarik minat pembida hingga mencapai nilai bidaan RM6,000 sebelum dinaikkan kepada RM10,000.

Akhirnya pembida tertinggi adalah beliau sendiri dan cincin itu kembali ke jari tuan asal.