Dr Abdullah dinobat Tokoh Maal Hijrah 1444H kategori Penggiat Agama

Dr Abdullah (empat dari kanan) dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444H kategori Penggiat Agama peringkat negeri Pahang di Temerloh pada Sabtu.
Dr Abdullah (empat dari kanan) dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444H kategori Penggiat Agama peringkat negeri Pahang di Temerloh pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Pengerusi Masjid Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444H kategori Penggiat Agama peringkat negeri Pahang di sini pada Sabtu.

Dr Abdullah berkata, beliau bersyukur apabila kerja kerasnya selama hampir 10 tahun untuk memartabatkan instusi masjid ke kedudukan yang tinggi telah dihargai.

Anugerah berkenaan membolehkan Dr Abdullah menerima sijil penghargaan, hadiah iringan serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan pada Sabtu.

Dr Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Dewan Masjid Malaysia (DMM) di bawah Majlis Dakwah Negara itu memberitahu, beliau akan terus berusaha untuk memastikan masjid khususnya Masjid Temerloh Jaya di sini terus menjadi tumpuan masyarakat.

"Saya terima anugerah ini dengan penuh rasa syukur. Selama ini masjid tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana ia tidak menjadi minat dan fokus.

"Sebahagiannya kosong, sepi dan sekadar tempat yang meriahnya cuma pada hari Jumaat dan hari raya.

"Namun hari ini perkembangan masjid sangat jauh berbeza. Sudah muncul masjid-masjid yang kehadiran jemaahnya begitu ramai, pengurusan yang sangat cemerlang, benteng kesatuan umat dan sudah menjadi pusat komuniti setempat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dr Abdullah akan terus berusaha memastikan masjid khususnya Masjid Temerloh Jaya terus menjadi tumpuan masyarakat.
Dr Abdullah akan terus berusaha memastikan masjid khususnya Masjid Temerloh Jaya terus menjadi tumpuan masyarakat.

Ujarnya lagi, paling penting ia sudah mendapat kedudukan dan tempat dalam masyarakat dalam media rasmi kerajaan dan juga media sosial.

"Anugerah ini juga mengiktiraf kerja dakwah menerusi platform masjid selain mengikut apa yang baginda Rasulullah S.A.W suka," tambahnya yang mula menjadi Pengerusi Masjid Temerloh Jaya sejak tahun 2015 hingga kini.

Beliau yang berusia 59 tahun itu juga aktif dan terlibat secara lansung sebagai pembentang kertas kerja, pembimbing dalam kolokium, bengkel plan strategik, seminar dan seumpama peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri juga daerah yang dikelola oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis dan jabatan agama Islam negeri serta universiti dan lain-lain badan.

Dalam pada itu, bapa kepada lima cahaya mata tersebut menjelaskan perancangannya untuk terus memberi fokus pada perubahan dan pembangunan masjid dengan menjadikan Masjid Temerloh Jaya sebagai projek perintis dari masjid biasa yang kecil dalam sebuah taman hingga menjadi terkenal dan tumpuan masyarakat setempat.

Masjid tersebut pernah dinobatkan johan Program Masjid Gemilang Pahang 2019 dan Johan Anugerah Masjid Malaysia kategori imarah solat pada tahun 2020.