Mangsa kes tipu haji trauma, malu

Mohd Hanif menunjukkan laporan polis semasa sidang akhbar di Bandar Baru Bangi pada Ahad.
Mohd Hanif menunjukkan laporan polis semasa sidang akhbar di Bandar Baru Bangi pada Ahad.
A
A
A

BANGI - Mangsa yang ditipu oleh sebuah agensi pelancongan untuk menunaikan haji mengalami trauma dan malu untuk berdepan dengan jiran serta keluarga.

Mohd Hanif Mohd Salleh, 57, berkata, ada mangsa sudah merancang mahu memberikan buah tangan dari tanah suci seperti buah tamar dan kismis kepada jiran.

"Apabila perjalanan kami ke tanah suci tidak dapat disempurnakan kerana penipuan ini, ia banyak mendatangkan kesan buruk kepada mangsa termasuk gangguan emosi," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat peguam berkenaan di Bandar Baru Bangi, di sini pada Ahad.

Mohd Hanif berkata, pihaknya juga terkilan kerana mereka tidak mendapat semula wang yang diserahkan kepada agensi pelancongan berkenaan.

"Sepatutnya kami berangkat ke tanah suci pada 28 Jun lalu, namun penerbangan kami asyik ditangguh beberapa kali sehingga 7 Julai lalu.

"Ada beberapa individu sudah menarik diri pada 5 Julai lalu apabila penerbangan ditangguhkan dan mereka menerima semula wang melalui ejen dan bukannya dari agensi pelancongan berkenaan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang lain mahu menunggu selepas diberikan pelbagai tawaran termasuk tinggal di hotel mewah di Mekah dan sehingga kini tidak mendapat semula wang seperti dijanjikan.

"Kita mahu semua pihak berkaitan memandang serius perkara ini dan tidak hanya memberikan jawapan sekadar melepas batuk di tangga.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu menuding jari pada mana-mana pihak kerana kita pasti ada hikmah di sebalik semua ini, namun tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Hanif adalah antara 111 individu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan haji pada 7 Julai lalu yang mahu membuat tuntutan sivil terhadap sebuah agensi pelancongan.