Gabungan tiga parti Melayu mampu menang PRU15 satu hipotesis

Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar iaitu Bersatu, Pas dan UMNO mampu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya merupakan satu hipotesis dan fatamorgana.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini disebabkan pihaknya pernah menghulurkan sesuatu perkara yang baik kepada kedua-dua parti terbabit.

“Kita pernah menawarkan ‘olive branch’ kepada kedua-duanya.

“Tetapi tangan kita bukan sahaja digigit, tetapi telah dilakukan sesuatu sehingga hampir patah tangan itu,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Muhyiddin sebelum ini dilapor menyatakan bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar iaitu Bersatu, Pas dan UMNO mampu menang PRU15 dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu berkata, penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan UMNO meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Ahmad Zahid dan dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Zahid menambah, selepas perkara terbabit, UMNO juga telah membina kekuatannya secara sendirian.

Menyentuh mengenai adakah UMNO bersedia untuk bergabung dengan parti lain selepas PRU15, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa politik adalah sesuatu yang sangat dinamik.

Menurutnya, usaha mengenai gabungan itu lebih baik diterjemahkan semasa pasca PRU15.

“Kalau kita lakukan sekarang, masing-masing mengatakan diri mereka kuat walaupun sebenarnya kita tak tahu tenaga batin politiknya telah berkurangan.

“UMNO serta BN akan membuktikan dalam PRU akan datang dan selepas itu kita cari formula sebagaimana (gabungan dengan parti lain),” ujarnya.