Sultan Nazrin berangkat sambutan Hari Pahlawan

Sultan Nazrin berkenan melakukan kawalan kehormatan pada sambutan Hari Pahlawan 2022 peringkat negeri Perak yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Ridzuan pada Ahad.
Sultan Nazrin berkenan melakukan kawalan kehormatan pada sambutan Hari Pahlawan 2022 peringkat negeri Perak yang diadakan di Dataran Bangunan Perak Ridzuan pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Pahlawan 2022 peringkat negeri di Dataran Bangunan Perak Ridzuan di sini pada Ahad.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya, Datuk Abu Bakar Md Ajis dan Panglima Markas 2 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta yang dipimpin oleh Deputi Superintendan, Md Shazni Md Shariff.

Perbarisan Hari Pahlawan melibatkan 780 pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada 11 jabatan dan agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba serta Persatuan Veteran ATM.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Asisten Superintendan, Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan diikuti deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawanku' yang dideklamasikan oleh Asisten Superintendan, Ahirrudin Mat Saat dari Pusat Latihan PGA.

Seterusnya, lagu kebesaran negeri Perak dimainkan sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.