Jihad perangi orang tengah

Noh (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Abdul Fattah (tiga dari kiri) dan Presiden Livestock National Agricultural Cooperative Federation, An Byoung Woo pada Hari Koperasi Negara 2022. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Noh (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Abdul Fattah (tiga dari kiri) dan Presiden Livestock National Agricultural Cooperative Federation, An Byoung Woo pada Hari Koperasi Negara 2022. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) akan mula memasarkan lima barangan keperluan asas di bawah jenama COOP bermula September ini, sebagai salah satu jihad dalam memerangi penglibatan orang tengah dan inflasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar berkata, buat permulaan ia melibatkan gula, minyak masak, tepung, beras dan ayam beku yang dijangka lebih murah antara 10 hingga 25 peratus berbanding harga pasaran setempat.

Menurutnya, kesemua barangan keperluan asas itu akan diimport dari negara seperti Thailand, Indonesia, Pakistan, India dan Brazil.

“Di peringkat permulaan kita akan memasarkan barangan ini di lebih 3,000 kedai koperasi di bawah Angkasa. Jika mendapat sambutan, jualan luar kedai koperasi akan dimulakan tetapi dengan tanda perniagaan COOP.

“Harga barangan ini akan dikawal oleh SKM. Jika didapati ada yang menjual barangan menggunakan tanda perniagaan COOP tetapi tidak mengikut arahan SKM, kita berhak batalkan mereka sebagai pengedar.

“Selain pasaran secara fizikal, semua produk jenama COOP juga akan dijual dalam talian mulai September,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Utama Sesi Walkabout Hari Koperasi Negara (HKN22) di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC)di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kuskop, Datuk Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Suriani Ahmad dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO).

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Ekspo Koperasi Malaysia (EksKOM) menyasarkan sebanyak 30,000 pengunjung yang akan membolehkan nilai transaksi jualan keseluruhan sebanyak RM1.2 juta iaitu RM500 juta melalui jualan makanan di Festival Makanan Asia manakala selebihnya melalui jualan produk dan perkhidmatan koperasi.

Jelasnya, Angkasa juga optimis untuk mencapai nilai perdagangan hadapan sekurang-kurangnya sebanyak RM200 juta melalui jalinan kerjasama strategik antara koperasi, rakan strategik syarikat termasuk swasta.

“Melalui penganjuran EksKOM, Angkasa berharap perolehan gerakan koperasi dapat ditingkatkan melalui jalinan kerjasama strategik ini.

“Sebanyak 359 reruai pameran koperasi disediakan mengikut lapan Sektor Pembangunan Perniagaan Koperasi seperti sektor pemborongan dan peruncitan, kewangan, inovasi dan teknologi, pertanian dan industri asas tani, perladangan, hartanah dan industri binaan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan serta pembangunan komuniti.

“Platform EksKOM akan memudahkan koperasi dalam urusan padanan perniagaan serta jaringan dagangan bagi memperluaskan ekosistemnya terutama dalam memperkasa rantaian bekalan dan pemasaran,” jelasnya.

Sebanyak tujuh negara turut terlibat dalam ekspo ini termasuk dari Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja, Korea Selatan, Singapura dan Hungary.

Angkasa, NACF Korea kongsi kepakaran hasil baka lembu

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) Korea Selatan bagi meneruskan usaha pertukaran teknologi penghasilan baka lembu.

Angkasa diwakili oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah manakala NACF diwakili Pengarah Dairy Cattle Improvement Center (DCIC) yang diasaskan oleh NACF, Jeong Ho Sang.

Noh (dua dari kiri) melancarkan Program Eksplorasi CoopUmrah yang dikendalikan oleh Angkasa pada Sabtu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Noh (dua dari kiri) melancarkan Program Eksplorasi CoopUmrah yang dikendalikan oleh Angkasa pada Sabtu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Abdul Fattah dalam ucapannya berkata, kerjasama itu bagi membolehkan kedua-dua koperasi itu berkongsi kepakaran dalam penghasilan susu lembu yang lebih baik.

“Sebagai sebuah koperasi besar kita mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kualiti susu lembu tempatan yang dihasilkan adalah lebih baik dan memberikan lebih pilihan kepada rakyat.

“Usaha ini juga dijangka akan dapat membantu kerajaan mengurangkan pergantungan import untuk produk susu dan selari dengan Program Pembangunan Tenusu Negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya pada Majlis Utama Sesi Walkabout Hari Koperasi Negara (HKN22) di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) di sini pada Sabtu.

Pada program yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar itu, turut dilancarkan Program Eksplorasi CoopUmrah bagi menguji kecekapan pengurusan dan keberkesanan pelaksanaan ibadah umrah dan ziarah yang akan dijalankan di bawah Program CoopUmrah.

Program itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Angkasa iaitu MyAngkasa Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan Angkasa (SPDKK).

Abdul Fattah berkata, buat permulaan, seramai 109 jemaah akan berangkat ke Makkah pada 10 Ogos depan untuk menjalani ibadah umrah serta ziarah selama 12 hari 10 malam.

“Program umrah dan ziarah khas ini merupakan inisiatif baharu yang dijalankan oleh Angkasa dalam meneroka bidang pelancongan demi memanfaatkan seluruh warga koperasi yang bernaung di bawahnya.

“Selain koperasi terdapat juga syarikat swasta dan rakan strategik yang turut serta,” katanya.