Guardiola tetap bangga biarpun tewas

Penyerang City, Phil Foden cuba melepasi halangan penjaga gol Liverpool, Adrian, pada aksi Perisai Komuniti di Stadium King Power, pada Ahad. - Foto EPA
Penyerang City, Phil Foden cuba melepasi halangan penjaga gol Liverpool, Adrian, pada aksi Perisai Komuniti di Stadium King Power, pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

BIARPUN tewas 1-3 kepada Liverpool pada aksi Perisai Komuniti di Stadium King Power pada Ahad, namun pengendali Manchester City, Pep Guardiola tetap berbangga dengan aksi dipamerkan kesebelasan The Citizens pada perlawanan berkenaan.

Menurut Guardiola, kesemua pemain mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan, namun tetap gagal memberikan saingan kepada The Reds yang dilihat beraksi lebih baik.

“Tahniah kepada Liverpool, mereka ternyata pasukan lebih baik daripada kami dengan penguasaan bola dan corak permainan yang kemas.

“Bagaimanapun, kami sekurang-kurangnya berjaya memberikan saingan pada 20 hingga 25 minit terakhir apabila menyamakan kedudukan, namun kami gagal mempertahankannya.

“Kami memberikan mereka sepakan penaltI dan selepas itu perlawanan menjadi semakin sukar sehinggalah ke penghujung perlawanan apabila kami sekali lagi dihukum dengan gol ketiga yang sama sekali melenyapkan terus sisa kebangkitan kami,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain gantian, Julian Alzarez menyamakan kedudukan pada minit ke-70 setelah pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-21.

Bagaimanapun, kebangkitan City terhenti apabila The Reds meledak gol kedua hasil sepakan penalti disempurnakan Mohamed Salah pada minit ke-83 sebelum penyerang baharu, Darwin Nunez menanduk masuk gol ketiga pada masa kecederaan.

Sementara itu, Guardiola berharap agar kesebelasan pemain dapat segera melupakan kekalahan berkenaan dan memberikan fokus untuk berdepan West Ham pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu ini.

“Mereka (pemain), perlu segera melupakan kekalahan ini dan memberikan fokus untuk aksi bedepan West Ham nanti kerana pada kebiasaannya.

“Ini kerana pada kebiasaannya, aksi pertama sememangnya begitu penting untuk mencorakkan hala tuju pasukan hingga ke penghujung musim,” katanya.