Pembangunan keperluan rakyat terjejas kerana kelemahan tadbir urus

Nik Mohd Hasyudeen
Nik Mohd Hasyudeen
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangunan negara khususnya khususnya membabitkan pembinaan infrastruktur keperluan rakyat secara tidak langsung terjejas disebabkan kelemahan dalam tadbir urus syarikat korporat khususnya yang berkaitan dengan kerajaan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan puluhan bilion ringgit yang sepatutnya digunakan bagi perbelanjaan pembangunan bagi menanggung kerugian hutang yang berlaku akibat isu tersebut.

“Jadi cuba bayangkan dengan jumlah tersebut, berapa banyak sekolah dan berapa puluh kilometer (KM) jalan yang kita boleh bina.

“Jadi itu adalah perkara yang rakyat terpaksa kena lepaskan sebab kerajaan kena selesaikan liabiliti seperti ini,” ujarnya yang merujuk kepada kelemahan tadbir urus antaranya membabitkan TH dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian ketika hadir menjadi tetamu istimewa dalam sesi perbincangan di Twitter Spaces bertajuk Rasuah Melambatkan Kemajuan Negara? anjuran ASRAT.

Pada Ogos 2020, TH yang sebelum ini berhadapan dengan masalah kewangan memaklumkan kerajaan menanggung liabiliti sebanyak RM20 bilion bagi menyokong Pelan Pemulihan TH.

Sementara itu, Menteri Kewangan, pada 14 Mac lalu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 30 Jun 2022, jumlah baki komitmen hutang 1MDB adalah RM32.08 bilion.

Mengulas mengenai kesan sekiranya masalah rasuah dan salah tadbir urus di dalam negara tidak ditangani dengan baik, Nik Mohd berpandangan Malaysia tidak perlu dibandingkan dengan negara lain khususnya seperti Sri Lanka.

“Ini kerana apa yang penting adalah kita kena pastikan dana kerajaan ditadbir dengan sebaiknya agar manfaatnya dirasai oleh rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga bekas bekas Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, kesedaran untuk mengamalkan integriti dan tadbir urus baik juga tidak terhad hanya kepada sektor awam tetapi juga swasta.

“Kadang-kadang sektor swastalah yang merasuah sektor awam kerana mereka mahu mendapatkan perkara seperti projek dan sebagainya,” dakwanya.