Muda sasar kumpul lima juta suara rakyat sebelum PRU15

Syed Saddiq dan Amira Aisya (tengah) bersama peserta program Majlis Rakyat anjuran Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa di Mount Austin, Johor Bahru pada Sabtu.
Syed Saddiq dan Amira Aisya (tengah) bersama peserta program Majlis Rakyat anjuran Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa di Mount Austin, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyasarkan untuk mengumpul lima juta suara rakyat Malaysia melibatkan kritikan dan cadangan mereka sebelum membawanya ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usaha tersebut sudah pun digerakkan 80,000 ahli partinya ke peringkat akar umbi sejak minggu lalu dan dijangka mengambil masa kira-kira 60 hari.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, inisiatif itu juga dilakukan menerusi program Majlis Rakyat yang dimulakan di kawasan Puteri Wangsa di sini sebelum diperluas ke Muar dan seluruh negara.

Jelasnya, usaha itu bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dan diharap dapat dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Langkah ini diambil kerana kini bukan lagi zaman di mana ahli politik tahu segala-galanya sebaliknya rakyat juga cakna akan permasalahan isu-isu semasa. Kita mulakan Majlis Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa terlebih dahulu.

"Sesi demokrasi konsultatif ini turut dilaksanakan melalui pelbagai platform media sosial dan aktiviti turun padang dari rumah ke rumah di mana suara rakyat itu akan dibukukan sebagai aspirasi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Majlis Rakyat anjuran Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa di Mount Austin di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

Syed Saddiq berkata, Majlis Rakyat akan dianjurkan mengikut populasi dan latar belakang penduduk di sesuatu tempat supaya program tersebut sampai ke semua peringkat akar umbi tanpa satu pun tercicir.

"Ini bagi membolehkan input yang diterima adalah realistik berdasarkan permasalahan dan keperluan penduduk setempat dan bukan hanya melibatkan satu-satu kumpulan tertentu semata-mata," ujarnya.

Menurutnya, program seperti Majlis Rakyat sudah dilakukan di banyak negara bertujuan melibatkan rakyat bawahan dalam proses demokrasi selain menyuarakan pelbagai isu semasa dan isu setempat.

Sementara itu, Amira Aisya berkata, pihaknya menjangkakan usaha mengumpulkan suara lima juta rakyat itu dapat diselesaikan menjelang September ini sebelum input diperoleh itu dipilih dan dibukukan.

Jelas beliau, input itu akan dikemas kini menerusi kertas cadangan sebelum diserahkan kepada peringkat kerajaan negeri dan dimajukan ke peringkat pusat selain akan turut dijadikan asas untuk manifesto Muda dalam PRU15.