RUU kawalan tembakau perlu ambil kira sudut hak kanak-kanak

Azalina - Foto Fauzi Baharudin/Parlimen
Azalina - Foto Fauzi Baharudin/Parlimen
A
A
A

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) Parlimen berharap diberi peluang untuk menilai sama ada larangan, liabiliti serta penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan di Parlimen selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diratifikasi Malaysia pada 1995.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya khuatir fasal-fasal mengenai penguatkuasaan RUU tersebut akan membuka ruang kepada penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

“JKPK menghargai aspirasi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai generasi penamat bagi produk tembakau demi kesihatan rakyat Malaysia.

“Namun, pihak JKPK khuatir bahawa fasal-fasal tentang penguatkuasaan RUU tersebut akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

“Selain daripada itu, fasal 24 akan memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana orang untuk menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lapan lagi ahli Parlimen dalam jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang; Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Pada Rabu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Tambah Azalina, pihaknya bimbang skop kuasa pegawai tersebut, di mana orang yang diberi kuasa boleh menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, memberhentikan, menggeledah, menyita dengan atau tanpa waran dan sebagainya.

“Seperti yang diperuntukkan di bawah fasal 24, fasal 26, fasal 27, fasal 28, fasal 32 dan fasal 33.

“Pihak JKPK turut menyatakan kegusaran kerana penguatkuasaan ini melibatkan golongan bawah umur dan pengendalian golongan ini memerlukan pegawai yang terlatih dan mempunyai sensitiviti kanak-kanak, selaras dengan norma antarabangsa,” ujarnya.

Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang berkata, fasal 54 (1) berkenaan kompaun kesalahan juga perlu diteliti dengan lebih mendalam atas implikasinya ke atas golongan bawah umur.

“Dengan itu, pihak JKPK bersedia membantu pihak KKM berkenaan RUU tersebut dari perspektif hak kanak-kanak sebelum bacaan kedua RUU tersebut di Dewan Rakyat,” jelasnya.