'Kembalikan Gunung Inas sebagai hutan simpan kekal'

Datuk Seri Abdul Azeez Rahim - Foto Bernama
Datuk Seri Abdul Azeez Rahim - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Status kawasan Gunung Inas perlu dikembalikan sebagai hutan simpan kekal sekiranya aktiviti pembalakan dan penanaman durian musang king menjadi punca kejadian banjir di Baling.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim turut mencadangkan projek tanaman musang king di Gunung Inas dihentikan dan tanaman hutan dikembalikan di gunung tersebut.

Beliau berkata, insiden kepala air yang berlaku di Baling perlu menjadi pengajaran besar kepada mana-mana pembangunan yang dilakukan di kawasan hutan, hulu sungai, tanah tinggi dan kawasan sensitif lain.

“Rakyat Baling pada hari ini hidup dalam trauma dan ketakutan setiap kali hujan di kawasan mereka.

“Bukan sahaja manusia yang menerima akibatnya, malah binatang dan hidupan liar seperti gajah dan harimau belang yang semakin pupus spesiesnya turut menerima kesan akibat gangguan ekologi di Gunung Inas,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Rabu.

Menurut beliau, disebabkan itu, rakyat mahukan jawapan tentang penyelesaian yang dilakukan oleh kementerian berkaitan bagi memastikan keselamatan rakyat di situ selepas ini.

“Apakah kementerian akan segera menutup kolam takungan di puncak Gunung Inas yang merisaukan rakyat,” soalnya.

Abdul Azeez berkata, ini memandangkan terdapat tiga kolam takungan sebesar padang bola sepak berukuran kedalaman lebih kurang 10 kaki berdasarkan tinjauan terbaru dilakukan di Gunung Inas.

Beliau melahirkan kebimbangan apabila mendapati kolam ini hanya ditutup dengan kain kanvas dan jelas telah mengalami hakisan yang boleh runtuh pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

“Apakah jaminan daripada kementerian tentang keselamatan penduduk sekitar selepas ini. Apakah telah dikenal pasti punca tragedi ini berlaku,” katanya.

Ujarnya lagi, ia kerana kajian oleh Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam (Peka) menegaskan sebatang pokok dewasa boleh menampung 400 gelen air dan jika dikurangkan, ia akan jatuh ke atas penempatan manusia.

“Apakah punca sebenar kejadian ini? Adakah kerana pembalakan dan projek musang king tersebut.

"Jika aktiviti pembalakan dan musang king adalah punca kejadian ini, kami merayu agar Gunung Inas dikembalikan kepada hutan simpan kekal dan projek musang king dihentikan dan tanaman hutan dikembalikan di Gunung Inas,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah kerajaan akan memastikan pampasan diberikan kepada rakyat yang terkesan dengan banjir yang lalu daripada syarikat-syarikat yang diberikan konsesi pembalakan dan kontrak musang king ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Azeez berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah meluluskan segala bantuan daripada kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensi relevan termasuklah pembinaan struktur sabo dan rancangan tebatan banjir (RTB).