790 unit rumah mampu milik bakal dibina di Pengkalan Tambang

Sebanyak 790 unit rumah mampu milik bakal dibina di Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah (SPT) bermula suku pertama 2023.
Sebanyak 790 unit rumah mampu milik bakal dibina di Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah (SPT) bermula suku pertama 2023.
A
A
A

SEBERANG PERAI - Sebanyak 790 unit rumah mampu milik bakal dibina di Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah (SPT) bermula suku pertama 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perumahan mampu milik itu akan dibina di Pengkalan Tambang di atas tanah seluas 9.3 hektar di atas Lot 1056, 1057, 1058 dan 1059 Mukim 12 Permatang Pasir.

Menurutnya, kerja pembangunan projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu tiga blok rumah pangsa lima tingkat yang mengandungi 350 unit rumah mampu milik jenis A di atas tanah seluas 1.86 hektar dan 440 unit rumah mampu milik jenis C3 di atas tanah seluas 7.4 hektar yang terdiri daripada rumah bandar (townhouse).

Katanya lagi, projek itu turut merangkumi kemudahan seperti surau, dewan komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam.

"Pelancaran projek ini merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha kerajaan negeri menjayakan agenda perumahan rakyat, selain merangkumi kejayaan dasar-dasar negeri yang memberi fokus kepada pertumbuhan dan kemajuan Pulau Pinang secara adil di antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

"Kerajaan negeri berharap untuk melihat perkembangan positif daripada pembangunan projek perumahan ini yang saya pasti, ia mampu memberi nilai tambah yang lebih baik kepada masyarakat di sini terutama dari segi peningkatan status ekonomi serta kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan selesa," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik Pengkalan Tambang di sini pada Sabtu.

Kon Yeow menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik Pengkalan Tambang pada Sabtu.
Kon Yeow menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Mampu Milik Pengkalan Tambang pada Sabtu.

Beliau menambah, kerajaan negeri berharap projek tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.

"Ia bagi memberikan penempatan dengan persekitaran yang lebih sempurna, selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih kondusif kepada warga Pulau Pinang," katanya.

Kon Yeow berkata, sehingga kini, di bawah Penang2030, sebanyak 138,545 unit iaitu 62.9 peratus daripada sasaran 220,000 unit rumah mampu milik telah dibina.

"Usaha menyediakan rumah mampu milik secukupnya sentiasa menjadi keutamaan pembangunan kerajaan negeri, yang mana sasaran penyediaan rumah jenis ini telah ditetapkan di bawah Inisiatif Strategik A1 Penang2030 iaitu Menangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan, dengan menyasarkan pembekalan sebanyak 220,000 unit rumah menjelang 2030.

"Aspek pembekalan, penawaran dan pembiayaan bagi memiliki rumah mampu milik ini adalah komponen yang berkait rapat sebelum rumah dapat didiami.

"Berdasarkan trend pembiayaan, sememangnya wujud peratusan yang agak tinggi penolakan pinjaman yang mana kerajaan negeri sendiri sejak 2014 telah memperkenalkan semula kaedah sewa beli," katanya.